Kuala Lumpur, 16 Disember 2022 – Walaupun dengan ramalan bahawa dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2023, Industri koperasi diyakini mampu berperanan meringankan beban rakyat Malaysia di luar bandar khasnya dari kalangan B40.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kini adalah memfokuskan pada penyelesaian isu kesenjangan ekonomi luar bandar melalui penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat desa.
Beliau turut menyatakan pencapaian unggul koperasi luar bandar seperti Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFMB) yang berjaya berkembang serta mencipta lebih kejayaan dengan menceburi pelbagai bidang seperti perladangan, hartanah, pembangunan dan peruncitan. merupakan contoh kejayaan From Zero to Hero. Terkini, modal syer KPFMB adalah berjumlah RM11.5juta dengan jumlah keanggotaan mencecah sehingga hampir 51 ribu orang.
Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan meyakini sektor koperasi di Malaysia mampu bersaing serta menembusi pasaran di peringkat serantau dan antarabangsa. Aktiviti komersil sektor koperasi negara mempunyai potensi besar untuk diperluaskan lagi ke peringkat serantau dan global, khususnya ke negara-negara ASEAN.
Menurut Pengerusi KPFMB Dato’ Sabari Misran, koperasi perlu berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan bergerak seiring dengan perkembangan terkini agar sentiasa relevan dalam dunia perniagaan komersial semasa. Malah menurut Sabari, adalah wajar untuk koperasi melakukan penjenamaan semula dari masa ke semasa agar sentiasa diterima oleh masyarakat dan menyuntik semangat dan nafas baru dalam perniagaan dan strategi pemasarasan supaya anggota sentiasa teruja lantas menyokong usaha-usaha yang dirancang oleh pihak pengurusan koperasi.
Terdahulu, YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama yang dimeterai di antara Koperasi Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFMB) dan PKPP Agro Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan kontrak tapak semaian kelapa sawit di Mukim Lepar, Pahang.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap di Majlis Sambutan 40 Tahun serta Mesyuarat Agung Perwakilan tahunan Kali ke 40 Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur malam tadi.
Hadir bersama ialah Ketua Setiausaha Kementerian KKDW, Dato’ Sri Ramlan Bin Harun, YBhg. Encik Jaafar Bin Ahmad, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan, Pengerusi FELCRA Berhad, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Jazlan Bin Yaakob, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Che Murad Sayang Bin Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Encik Mas Rizal Bin Mohd Hilmi.