KELANA JAYA, 30 Januari 2022 – Hari ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Datuk Sri Rina Mohd Harun menyantuni OKU di Pusat Jagaan OKU Kelana Jaya, Selangor. Keluarga Malaysia, adalah tanggungjawab Datuk Sri Rina untuk membantu membela golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai (cashless) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), program ini sebenarnya masih di peringkat rintis atau ‘percubaan’ yang melibatkan penerima bantuan baharu di kawasan terpilih tanpa membabitkan penerima bantuan sedia ada.
Inisiatif “cashless” atau Tanpa TUNAI ini tidak akan dilaksanakan sekiranya kajian mengenainya tidak dibuat terlebih dahulu. Malah, pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah pun melakukan Kajian Kebolehlaksanaan Projek Rintis “Cashless” pada 14 Jun sehingga 10 Julai 2021 lalu di seluruh lokasi projek rintis yang melibatkan seramai 1066 orang penerima bantuan.
Hasil daripada kajian ini menunjukkan majoriti peserta memberi sokongan kepada pelaksanaannya dan sekaligus memudahkan mereka melakukan kawalan perbelanjaan untuk menampung keperluan harian. Penerima bantuan juga menerima sepenuhnya bantuan ini yang melibatkan pembahagian 50% secara Tunai dan 50% lagi secara Tanpa Tunai “Cashless” tanpa ada sebarang pemotongan “surcharge”.
Sehingga Disember 2021 terdapat seramai 519,409 orang penerima bantuan yang dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Hanya seramai 3,722 orang merupakan penerima bantuan baharu yang mengikuti projek rintis “cashless” ini.
Setiap penerima bantuan telah diberikan penerangan dan menandatangani surat persetujuan sebelum terlibat dengan
projek rintis ini. Pelaksanaan program “JKMPay” “cashless” ini memberikan banyak kelebihan termasuk mendidik penerima-penerima bantuan mengurus dan mengawal perbelanjaan wang bantuan secara berhemah dan teratur supaya ianya tidak boleh disalahgunakan oleh penerima untuk membeli rokok dan arak.
Projek Cashless ini masih di dalam peringkat pemantauan JKM dan ia adalah projek rintis. Setiap maklumat, data, pandangan dan input daripada semua pihak yang diperoleh sepanjang pelaksanaan projek rintis “cashless” ini akan diteliti dan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai pelaksanaannya secara menyeluruh kelak.
Pihak kementerian juga menjemput pihak-pihak NGO OKU dan badan-badan berkaitan serta kumpulan yang menghantar memorandum ini ke satu forum atau majlis bagi menerangkan sekali lagi dengan terperinci berkaitan dengan pelaksanaan program ini. Pihak kementerian akan
menyampaikan maklumat ini secara menyeluruh bagi kefahaman kepada kesemua penerima bantuan.
Pihak Kementerian sentiasa mendengar, cakna dan prihatin terhadap semua golongan yang memerlukan. Datuk Sri Rina Harun dan Kementeriannya sentiasa ada membantu. Oleh itu, YB Rina Harun meminta jasa baik pihak media yang hadir hari ini untuk menyampaikan apa yang dikatakan ini sebagai menjadi agen menyalurkan informasi yang bermanfaat kepada yang memerlukan.