JELEBU: Bukan sahaja harga murah ditawarkan pada program Jualan Keluarga Malaysia, jualan lelong yang dibuat ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjadi tumpuan pengunjung pada program yang di Kuala Klawang hari ini.
Ayam daging yang dijual pada harga RM7.50 sekilogram sebelum itu oleh peniaga, kemudian dijual dengan harga lelong RM5 sekilogram menarik orang ramai berebut mendapatkannya.
Sebanyak 240 kilogram daripada 1 tan ayam dijual pada harga lelong habis tidak sampai 15 minit.
Gerai menjual minyak masak paket turut diserbu apabila 200 paket minyak masak dijual pada harga RM1 sepaket.
Petai, sayur-sayuran, roti turut diberi secara percuma kepada orang ramai berdasarkan siapa cepat dia dapat pada jualan yang diadakan untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang.
Bagi penjual roti, Azman Dollah, 41 berkata sebanyak 1,600 paket pelbagai jenis yang dibuat sendiri habis dijual dalam tempoh 60 minit.
Katanya, potongan harga dari 50 sen hingga RM1 bergantung kepada jenis roti untuk orang ramai yang datang ke gerainya.
“Pelbagai jenis roti antaranya roti kaya, kacang, kelapa, butter, selain mini pizza, sosej dan papa roti habis diborong,” katanya.
Bagi pengunjung Osman Zakaria, 50, berkata dia berbelanja RM50 dengan membawa pulang dua ekor ayam, sekilo ikan tilapia, satu papan telur, minyak masak manakala petai, sayur dan sebungkus roti diperoleh secara percuma.
Seorang lagi pengunjung, Zainab Borhan, 38, berkata dia terkejut apabila banyak jualan dibuat secara lelong menyebabkan pengunjung tidak ketinggalan untuk mendapatkan barangan.
“Jualan Keluarga Malaysia perlu diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia dapat membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Jalaluddin yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, berkata program jualan ini akan diadakan setiap dua minggu sekali membabitkan empat DUN di Parlimen ini.
“Ini adalah kali kedua penganjuran selepas kali pertama di adakan di Simpang Durian, manakala pada 12 Februari ini akan diadakan di DUN Pertang,” katanya.
Selain Jualan Keluarga Malaysia, Pejabat Parlimen Jelebu turut mengadakan program isi minyak motosikal sampai penuh di sebuah stesen minyak di Kuala Klawang.