PUTRAJAYA, 8 Februari 2022 – Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato Sri Dr. Shahidan Kassim melakukan aktiviti ‘walkabout’, meninjau dan beramah mesra dengan peniaga Agrobazaar dan Karnival Food Truck Putrajaya di Tapak Hot Spot Food Truck Presint 2, Putrajaya.
Turut hadir bersama YB Datuk Seri Jalaluddin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, YBhg Datuk Seri Hajah Rosida Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan YBhg. Dato’ Fadlun Mak Ujud, Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya (PPj).
Karnival yang dianjurkan selama tiga (3) hari ini bermula pada 7 hingga 9 Februari 2020 dari jam 10 pagi hingga 10 malam yang julung-julung kali diadakan ini menampilkan pelbagai pengisian menarik bercorak keusahawanan, kerohanian, kekeluargaan, riadah, dan hiburan santai. Penganjuran program ini bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 dan ianya merupakan inisiatif Perbadanan Putrajaya (PPj) membantu penjaja kecil sederhana Putrajaya yang terkesan akibat pandemik untuk memulihkan semula perniagaan dan berdaya saing.
Terdapat dua (2) komponen iaitu komponen pertama merupakan agro bazaar yang menghimpunkan seramai 100 peniaga dalam jualan terus buah-buahan, tanaman kontan serta sayuran dari ladang, jualan florikultur iaitu anak-anak pokok, pokok bunga serta orkid, jualan produk industri asas tani dan jualan makanan popular. Selain itu, pelbagai aktiviti antaranya aktiviti memakan durian, pertandingan memancing cili, kempen makan ulam serta hadiah cabutan bertuah turut diadakan.
Komponen kedua pula merupakan Karnival Food Truck Putrajaya memaparkan seramai 20 usahawan food truck Putrajaya dalam jualan pelbagai juadah makanan dan minuman kepada pengunjung. Pengunjung juga berpeluang untuk menikmat hidangan di ruang makan outdoor lengkap dengan kerusi dan meja dan dihiburkan dengan persembahan ‘busker jemputan!
Terdahulu, YB Menteri Wilayah Persekutuan mengambil kesempatan menanam pokok di Sisiran Tasik Putrajaya. Pokok yang telah dipilih dan ditanam adalah dari spesis Tabebuia rosea dan Tabebuia argentea atau lebih dikenali sebagai pokok Sakura Malaysia (Tecoma). Pokok yang ditanam oleh YB Menteri Wilayah Persekutuan merupakan pokok yang ke 50,000 ditanam di Putrajaya.
Sehingga kini, Perbadanan Putrajaya telah merekodkan penanaman sebanyak 50,000 pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia di sekitar Putrajaya. Pokok yang telah ditaman merangkumi pokok teduhan berbunga seperti Tabebuia rosea (Tekoma), Cassia fistula (Rajah Kayu dan banyak lagi spesies pokok berbunga yang lain.