KUALA LUMPUR, 5 April 2022 – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Tahun 2022/1443H bermula pada 5 hingga 23 April 2022 dengan semangat kebersamaan dan berganding bahu Menteri Wilayah Persekutuan YB Dato’ Seri Dr Shahidan bin Kassim pada hari ini menyantuni golongan asnal di Segambut dan seterusnya menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah di Masjid Al-Firdaus, WP Kuala Lumpur.

Seramai 145 orang penerima sumbangan di Parlimen Segambut yang terdiri daripada anak-anak yatim warga emas, ibu tunggal, OKU dan mereka yang kurang berkemampuan berjumlah RM200.00 seorang melalui peruntukan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan KWP. Penerima juga turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti periuk nasi, beras dan kurma yang melibatkan peruntukan sebanyak RM183,425.

Penganjuran Program Nur Ramadan ini dilaksanakan secara kerjasama di antara KWP, DBKL, MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dan McDonald’s Malaysia.

Program ini bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan disamping memupuk nilai kasih sayang dalam kalangan warga Kuala Lumpur di bulan Ramadan serta memperkukuh dan memperkayakan interaksi antara pihak Kerajaan.

Secara keseluruhan Program Nur Ramadan kali ini, seramai 2,500 penerima sumbangan menerima bantuan wang tunal yang melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. Pihak KWP turut menyumbangkan wang tunai berjumlah RM519,500 kepada semua 824 masjid, surau jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan bagi mengimarahkan suasana Ramadan. McDonald’s Malaysia juga turut berbesar hati menaja makanan moreh kepada kira-kira 8.500 orang sepanjang penganjuran program kali ini.

Dalam majlis yang sama, YB Menteri Wilayah Persekutuan turut menyampaikan sumbangan kepada 121 orang mangsa tanah runtuh Kampung Palimbayan serta sumbangan kepada kira-kira 50 orang tenaga pengajar Al-Quran sekitar Parlimen Segambut.

Diharapkan majlis ini dapat mengeratkan ukhuwah perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu di Wilayah Perseutuan kerana Agama Islam mengajak manusia supaya bersatu padu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturrahim agar Wilayah Persekutuan terus maju dan sejahtera dalam keadaan yang aman dan damai selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

Leave a Reply