KUALA TERENGGANU: Jutawan hartanah dari Besut, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali membuat tuntutan saman RM10 juta kepada pemilik Facebook berhubung kenyataan fitnah yang mengaitkannya dengan isu tanah di laman Facebook.
Peguamcara mewakili beliau, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya telah memfailkan saman fitnah di Shah Alam pada 28 Mac dan writ saman telah diterima untuk perbicaraan dan pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata, anak guamnya berasakan imej dan reputasinya tercalar sebagai ahli perniagaan sehingga menyebabkan kerugian besar kesan daripada fitnah terbabit.
“Defendan menggambarkan Azlan seorang yang tidak jujur, malah diulang-ulang pernyataannya beberapa kali sejak 20 Mac 2021 hingga 7 September 2021 memperlihatkan wujud tindakan menjatuhkan reputasi Azlan.
“Selepas pihak kami menghantar Letter Of Demand, defendan telah memadam sebahagian posting-posting mereka namun masih ada posting yang tidak diturunkan, malah ada yang dikongsikan ke FB berkumpulan yang lebih ramai pengikutnya,” katanya pada sidang media di pejabat Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).
Mengulas lanjut, Azlan berkata, pihaknya pernah berusaha untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak yang memfitnahnya namun usahanya itu ditolak.
“Cara memalukan orang lain ‘ditabur’ sekeliling dengan cara itu adalah tidak profesional dan tidak jujur.
“Akibat fitnah dan cercaan di FB, ada rakan niaga dan pelabur menarik diri daripada terus berurusan dengan saya,” katanya.
Tambahnya, tindakan beliau bukanlah untuk dirinya sahaja malah budaya fitnah di laman sosial ini sudah terlalu banyak tanpa kawalan dan perlu diberi pengajaran.
“Ini beri ingatan kepada orang ramai agar tidak tidak sewenang-wenangnya menabur fitnah,” katanya.
Terdahulu, Azlan membuat laporan polis telah dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jertih di Besut, setelah membaca posting mengenai dirinya.
Antara tuduhan di laman sosial kononnya beliau hidup senang kerana menipu dan hantaran tersebut menyebabkanmya teruk dikecam.
Mohamad Azlan yang merupakan pemilik Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn. Bhd. berkata, saman berkenaan akan difailkan dalam masa terdekat dan peguamnya kini sedang menyiapkan urusan dokumentasi.
Baru-baru ini, jutawan hartanah yang bermula sebagai pengutip sampah itu tular kerana membawa kegembiraan kepada kira-kira 400 penduduk Besut apabila mempelawa mereka menaiki helikopter secara percuma. – WacanaKini