KUALA LUMPUR – Wakil YB Dato Sri Najib Razak dan YB Dato Sri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa Debat Perdana Antara Bekas Perdana Menteri YB Datuk Sri Najib Razak dengan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia YB Datuk Sri Anwar Ibrahim akan diadakan pada hari khamis, 12 Mei 2022 jam 9 malam bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Debat ini juga akan turut dapat disaksikan secara langsung sama ada melalui saluran media-media yang akan diumumkan kemudian ataupun secara fizikal di Dewan berkenaan. Maklumat terperinci berhubung kehadiran fizikal akan diumum kemudian.
Secara amnya, format Debat Perdana ini akan merangkumi tiga bahagian:
Pertama, berhubung permasalahan yang dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy serta sama ada ianya perlu diselamatkan atau tidak.
Kedua, berhubung ‘Masa Depan Malaysia’ merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.
Ketiga, sesi soal jawab.
Debat Perdana ini nanti ini akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menilai dan meraikan idea, hujah serta pandangan yang berbeza, dalam suasana aman yang mencerminkan budaya berpolitik yang lebih matang.