KUALA LUMPUR – YAB Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob menjadi ‘poster boy’ atau Calon Perdana Menteri PRU15 akan datang selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah membuat ketetapan mengenai Calon Perdana Menteri PRU15.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sri Ahmad Maslan, kesepakatan itu adalah antara beberapa perkara yang diputuskan dalam mesyuarat MKT hari ini.
Mesyuarat MKT hari ini membuat ketetapan mengenai kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang akan berakhir pada 31 Julai 2022 ini diputuskan tidak akan diteruskan lagi.
Selain itu, UMNO juga berpendapat satu Akta Lompat Parti mesti dilaksanakan dan terus disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menggagalkan cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain. UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi-pengundi sentiasa dihormati dan terpelihara.
Bagi merealisasikan keputusan ini, satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022 ini bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.
Pada hari yang sama juga, Sambutan Hari UMNO dan Jamuan Aidilfitri turut akan diadakan.