Oleh Tun Puteh Wanti

KUALA LUMPUR : Auditorium MATIC bakal menyaksikan debat antara Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang dan bekas Perdana Menteri itu dijadualkan berlangsung jam 9 malam ini.

Debat Perdana yang julung kali menampilkan dua figura besar politik tanah air, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak malam ini, dijangka mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara.

Debat Perdana Najib dan Anwar akan menyentuh dua isu utama, pertama persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya.

Cabaran debat itu tercetus selepas Najib dan Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran bailout (menyelamatkan) Sapura Energy.

Sebelum ini, Sapura Energy mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

Perolehannya merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

Selain itu, Anwar dan Najib turut dijangka membincangkan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Anwar turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengemukakan soalan kepada Najib dengan orang ramai boleh mengajukan soalan menerusi ruangan komen di akaun Twitter rasminya semalam.

Akaun Twitter rasmi Anwar mendapati lebih 165 individu memberikan reaksi dengan mengemukakan soalan antaranya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Leave a Reply