BANGI : Program MyDesa yang menyediakan kursus kemahiran untuk menguasai data diberikan kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Orang Asli (JPKKOA).

Menurut Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad, kursus ini sangatlah penting kepada mereka bagi memperkasakan lagi pentadbiran JPKKOA supaya mereka tidak tertinggal di zaman teknologi ini.

“Dalam tempoh tiga bulan ini, kita akan lihat keberkesanannya program MyDesa ini.

“Jika mereka masih belum mahir, mereka akan dilatih sehingga lah benar-benar mahir,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan penutup kursus kepimpinan MyDesa peringkat Pahang di Institut Kemajuan Desa (INFRA), Bangi malam Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.

”MyDESA merupakan program latihan khusus untuk Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta turut melibatkan JPKKOA dalam memantapkan peranan dan tugas JPKKOA menerusi pembelajaran secara bersemuka dan sesi latihan di Institut Kemajuan Desa (INFRA).

”Selain itu, kemudahan infrastruktur asas masyarakat orang asli termasuk ameniti sosial diperluas, serta pembangunan modal insan dan peningkatan kadar pendapatan masyarakat tersebut turut diberi tumpuan.

Sebanyak RM 274 juta peruntukkan dalam Bajet 2022 disediakan bagi komuniti orang asli sekaligus diyakini mampu melaksanakan agenda pembangunan dan kemajuan masyarakat luar bandar melalui KPLB dan JAKOA – agensi yang diyakini dapat merealisasikan agenda kerajaan ini”, kata Abdul Rahman.

”Sehingga kini, terdapat sejumlah 276 JPKKOA di seluruh negara yang berperanan sebagai jawatankuasa yang mengurus dan melaksanakan pembangunan, kemajuan dan keselamatan kampung.

Selain itu, JPKKOA ini merupakan perantara komuniti masyarakat orang asli dan pihak kerajaan dalam menyalurkan sebarang maklumat atau aduan daripada komuniti tersebut”, ujar Abdul Rahman lagi.

Beliau menambah, penubuhan JPKKOA dan kebajikan masyarakat ini adalah selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Hak Orang Asal/Asli atau The United Nations Declaration on the Right of Indigenous Peoples (UNDRIP) yang telah dipersetujui Malaysia di Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2007.

”KPLB amat menyokong pelaksanaan lebih banyak latihan pengukuhan modal insan kepada masyarakat orang asli diberikan selaras dengan perkembangan teknologi pendigitalan negara termasuk dalam persediaan negara untuk memasuki fasa endemik”, ujar beliau lagi.

Terdahulu, Abdul Rahman turut menyampaikan replika Cek Elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha JPKKOA Negeri Pahang Tahun 2022 yang berjumlah RM 1.29 juta ringgit.

Seramai 60 orang peserta terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha JPKKOA Negeri Pahang pada program selama 3 hari 2 malam yang yang bermula pada 13 sehingga 15 Mei 2022.

Leave a Reply