PUNCAK ALAM 5 Jun 2022 – Pembinaan Stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam telah pun diluluskan, demikian kata Menteri Kewangan Datuk Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Tengku Zafrul, pengumuman bagi Pembinaan Stesen ECRL Puncak Alam dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link (MRL). Bagaimanapun, tarikh pembinaannya masih belum diputuskan lagi.

Tengku Zafrul ketika mengumumkan berita baik itu menyifatkan ianya bakal memenuhi keperluan rakyat di kawasan Puncak Alam.

“Tempoh hari saya ada berjumpa dengan gabungan pengerusi-pengerusi penduduk di Puncak Alam. Mereka ada menyuarakan hasrat warga Puncak Alam untuk membina stesen ECRL di Puncak Alam.

“Oleh yang demikian, saya telah mohon pihak berkaitan untuk memberi pertimbangan rapi terhadap permintaan stesen ECRL ini, dan Alhamdulillah ianya telah diluluskan dan insya-Allah akan ada stesen ECRL di Puncak Alam ini,” kata Menteri Kewangan Datuk Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tambah Tengku Zafrul, pembinaan Stesen ECRL itu kelak akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

Pada masa sama, beliau juga mengumumkan menjadikan Kuala Selangor sebagai Daerah angkat bagi Kementerian Kewangan demi memajukan kawasan Kuala Selangor ini semaksimumnya.

“Saya secara peribadi ada sedikit sentimental dengan Kuala Selangor. Banyak potensi yang boleh diketengahkan dan dimajukan, katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, semua Kementerian serta agensi Kerajaan akan terus memberikan bantuan kepada semua sektor dan kawasan ekonomi di seluruh negara termasuklah Kuala Selangor.

Selain itu, mengenai lawatannya yang dikatakan selalu di Kuala Selangor, beliau menjelaskan bahawa beliau sentiasa melakukan lawatan ke seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Kuala Selangor sahaja.

Ketika ditanya pemberita adakah beliau akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15) nanti, beliau memberikan jawapan akan memberikan fokus kerjanya di Kementerian Kewangan.

Leave a Reply