KUALA LUMPUR – Dalam menyelesaikan masalah berkaitan bekalan ayam secara menyeluruh, Majlis Kerja Tertinggi UMNO mencadangkan kerajaan agar mewujudkan Lembaga Unggas Negara bagi ianya tidak dimanipulasi oleh kartel yang berkepentingan.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sri Ahmad Maslan, mengenai Akta Lompat Parti, Majlis Kerja Tertinggi UMNO menegaskan RUU ini perlu dibentangkan dengan segera di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) nanti.
“MKT juga turut mendukung keputusan kerajaan yang membatalkan keputusan awal untuk menaikkan tarif elektrik dan air di Semenanjung dan pengapungan harga ayam di pasaran
“Kerajaan harus benar-benar membantu rakyat yang susah akibat kenaikan kos sara hidup dengan merencanakan subsidi bersasar terus kepada rakyat B40 yang kurang berkemampuan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO disini.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Presiden UMNO bersetuju melantik Bekas Ketua Penerangan BN Selangor yang juga Aktivis Media Sosial, Saudara Isham Jalil sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu.
“Saudara Isham Jalil yang berumur 46 tahun dan berkelulusan Sarjana Dasar Awam dari Harvard University,” katanya.