CHERAS – Rekod dan reputasi cemerlang, kualiti perkhidmatan bertaraf kelas A, kepercayaan tinggi oleh pemegang taruh, memberi kelebihan kepada syarikat pengendali dan mengurus katering di pelantar minyak pesisir pantai negara, SOCC Offshore Sdn Bhd (SOCC Offshore) untuk terus beroperasi tanpa sebarang insiden kemalangan, sejak 30 tahun lalu.
SOCC Offshore (dulu dikenali sebagai Sribima Offshore Catering Services Sdn Bhd) adalah anak syarikat milik SOCC Holdings Sdn Bhd (SOCC Holdings) berpangkalan di Miri, Sarawak sejak 1983, berteraskan perniagaan penyediaan perkhidmatan katering berkualiti dalam industri petrokimia luar pesisir Sarawak dan Pantai Timur.
Pengarah Urusan Kumpulan SOCC Holdings, Amin Aznizan berkata dengan kelebihan malah kekuatan SOCC Offshore dalam mengutamakan aspek mutu dan kualiti perkhidmatan serta pengendalian makanan bernutrisi baik yang ditagih industri, seiring mengekalkan rekod tempoh operasi tanpa kemalangan, mendorong untuk mencapai sasaran kepada 10 juta jam, sekurang-kurangnya akhir tahun ini.
Katanya, setakat ini, SOCC Offshore mencapai rekod tertinggi jumlah tempoh operasi kira-kira 9.2 juta jam tanpa insiden, berbanding syarikat lain sedia ada masih pada rekod 5 juta jam, manakala 7 juta di peringkat antarabangsa namun berlaku insiden kemalangan sehingga terpaksa memperbaharui rekod sekali lagi.
“Perniagaan katering luar pesisir ini berpotensi besar untuk tempoh jangka masa panjang, cuma kualiti perkhidmatan dan keselamatan makanan adalah kekuatan kita yang membuatkan masih mampu bertahan sehingga kini.
“Walaupun sudah mencapai 9.2 juta jam, tanpa sebarang insiden, tanda aras ini cukup sensitif untuk diperkatakan, kerana pencapaian boleh lesap begitu sahaja jadi sebab itu kita perlu sangat berhati-hati dalam aspek ini.
“Kita bukan sahaja berhati-hati dalam keselamatan makanan, ia perlu ada kesedaran tinggi, tak boleh dipandang ringan walaupun sudah banyak pengalaman. Kalau tengah kerja jari luka, ada diabetes pula?. Kalau sakit, di sana tiada klinik atau hospital ambil masa.
“Begitu juga tempoh penghantaran stok bahan mentah mengikut musim. Biasanya sampai dua tiga hari, tetapi musim monsun mengambil masa dua tiga minggu.
“Jadi kita kena pastikan kualiti bahan mentah, dalam masa yang sama tidak menyebabkan pekerja luar pesisir kebuluran,” katanya yang mendedahkan cabaran perniagaan.
Amin, 34, berkata, beliau adalah generasi ketiga mengambil alih operasi perniagaan SOCC sepenuhnya, yang diwarisi oleh datuk dan ibu saudaranya, sejak dua tahun lalu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan sambutan Hari Gawai SOCC bersama 14 rakan strategik, Forest Valley, Bandar Mahkota Cheras, di sini.
Sambutan majlis dimeriahkan dengan tema negeri Sarawak dengan persembahan bergendang, tarian ngajat khas selain persembahan artis dari Bumi Kenyalang seperti Salama Asis, Huza the Yuko, Sape dan Elizabeth Bungan.
Selebriti dan artis tempatan turut diundang iaitu Azharina Azhar, DJ Fuzz, DJ Sonic, Fauziah Nawi, Nana Sheme, Noh Hujan, Sam Innuendo, Uno Popshuvit.
Amin berkata, jika sasaran 10 juta jam itu boleh dicapai, ia akan memberi peluang lebih besar lagi untuk melebarkan sayap ke luar negara dan bersaing secara sihat dalam industri itu.
“Syarikat baru sahaja dapat kontrak dengan pihak di Arab Saudi untuk mula operasi pada Jun ini. Walaupun ia kontrak kecil, tetapi kita ambil ia sebagai batu loncatan dan mudah untuk berkembang sebaik bertapak di sana.
“Kami juga ambil ia sebagai cabaran baharu bersaing dengan syarikat multinasional, untuk jadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, SOCC Offshore menguasai 14 peratus pegangan ‘market share’ industri katering di pelantar minyak pesisir pantai negara, dan antara terbesar setakat ini.