JELEBU – Seekor harimau kumbang yang muncul secara tiba-tiba, mati selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 19, Jalan Seremban-Simpang Pertang, dekat Bukit Tangga, di sini.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pemandu MPV jenis Honda Odyssey iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun sedang memandu dari arah Seremban menghala ke Kuala Klawang bersama keluarga.
Menurutnya, ketika melalui selekoh kanan menuruni bukit di lokasi tersebut, secara tiba-tiba seekor harimau kumbang melintas dari arah kanan jalan.
“Pada masa yang sama pemandu sempat menekan brek tetapi terlanggar juga harimau kumbang tersebut. Selepas perlanggaran tersebut, harimau kumbang itu kemudiannya bergerak ke longkang berhampiran yang terletak kira-kira empat meter sebelum mati di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Maslan berkata, harimau kumbang tersebut disahkan mati oleh pegawai Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.
Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat memaparkan seekor harimau kumbang kelihatan terkejut, bergerak dalam keadaan seperti mengalami kecederaan di tengah jalan raya.
Ia kemudian diikuti dengan video berdurasi 13 saat memaparkan harimau kumbang itu berada di dalam longkang di tepi jalan.