BANGI – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) perlu diaktifkan semula bagi menerap dan memperkasa jati diri kepimpinan dalam generasi muda demi masa depan negara lebih baik.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, beliau berasa terpanggil untuk memberi cadangan itu selepas melihat keperluan program berkenaan ke arah pembinaan negara bangsa kepada belia, dan tidak membabitkan politik kepartian.

“Saya akan syorkan (kepada kerajaan) supaya program PLKN dikembalikan, dengan (modul) lebih sempurna, kurikulum menjurus kepada pembinaan negara bangsa, bukan politik kepartian.

“Kalau sekiranya tidak ada platform untuk mendidik pemimpin masa depan, kesalahan akan diletakkan di atas bahu kami,” katanya.

Beliau yang juga bekas Pengarah BTN itu berkata demikian menjawab soalan mahasiswa berhubung kepimpinan di sekolah pada sesi Townhall Ikon MADANI sempena Jelajah Ikon MADANI Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Selain itu, Naib Canselor UKM, Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN, Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar bersama kira-kira 2,000 mahasiswa membabitkan lapan institusi pengajian tinggi (IPT).

Dalam perkembangan sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu berkata, sekolah juga perlu mencari peluang untuk mengesan potensi kepimpinan pelajar dan mengasah bakat mereka sejak dari peringkat awal sekali gus melahirkan bakal pemimpin lebih baik.

“Untuk memupuk kesedaran tentang kepimpinan dan bakal pemimpin akan datang, perlu bermula dari sekolah dan universiti.

“Contoh di Kedah, ada 1,300 sekolah menengah, boleh lahirkan sekurang-kurangnya dua pemimpin muda setiap sekolah, bermakna ada 1,000 orang dalam setahun.

“Kita tak ada pilihan lain, atau pilihan kedua kecuali satu pilihan ini sahaja. Kita kena garapkan, beri peluang kepada anak muda tidak kira lelaki atau perempuan, untuk menjadi pemimpin,” katanya yang turut menyarankan mahasiswa mengajak pelajar sekolah mengenali corak kepimpinan di IPT.