BALING, 4 Julai – Jawatan dalam parti bukan kriteria utama untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara kriteria individu yang akan dipilih sebagai calon mesti dikenali dan diterima oleh ahli parti serta masyarakat setempat.
“Sebab (faktor) calon itu sangat penting (untuk menang pilihan raya), jadi seseorang yang hendak dipilih sebagai calon mesti boleh diterima oleh masyarakat.
“Kalau orang itu boleh diterima (masyarakat), sama ada dia ada jawatan dalam parti atau tak ada jawatan dalam parti, kalau public boleh terima dia, kita tak ada halangan untuk mengemukakannya (sebagai calon BN).”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai proses pemilihan calon BN Kedah bagi menghadapi PRN negeri akan datang.
Mahdzir berkata, BN juga mempunyai beberapa kriteria lain yang diambil kira dalam menentukan seseorang individu itu dinamakan sebagai calon pada PRN nanti.
Jelasnya, individu yang berasal dari sesuatu kawasan lain juga boleh diangkat sebagai calon sekiranya masyarakat di kawasan itu dapat menerimanya dan mampu berkhidmat di situ.
“Orang itu kena ada di situlah untuk diterima oleh masyarakat. Kalau masyarakat pun tak kenal dia, ahli parti pun tak kenal dia, yang itu nanti akan ada masalah (untuk menjadi calon),” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata pengagihan kerusi PRN Kedah antara BN dan Pakatan Harapan (PH) telah selesai dan pengumuman senarai calon akan diumumkan tidak lama lagi.