KUALA LUMPUR – Pengguna Twitter, menggunakan nama Zaki Yamani tampil membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap isteri dan keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung ciapan biadabnya terhadap kesihatan Presiden PAS itu.
Mengambil kira teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, individu itu memuat naik ciapan baharu dengan menulis permohonan maaf berkenaan.
Dia turut mengambil pandangan rakan-rakannya yang lain untuk berbuat demikian.
“Mengambil perhatian ciapan YAB PM (Anwar) dan pandangan rakan-rakan, saya memohon maaf kepada isteri-isteri dan keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang andai ciapan saya ini mengguris perasaan,” ciapnya.
Anwar dilaporkan kesal dengan ciapan biadap pengguna Twitter menggunakan nama Zaki Yamani menulis mengenai keadaan kesihatan terkini Abdul Hadi.
Perdana Menteri menerusi hantaran Twitternya itu, kemudian mengarahkan individu berkenaan untuk memohon maaf dengan segera.
“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” ciapnya.
Pengguna Twitter @Zaki_Yamani_ melalui satu ciapan, meminta agar nyawa Presiden PAS itu diambil supaya ‘kerosakan’ yang dibuat dapat dihentikan selepas dilaporkan keadaan kesihatannya merosot ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Dia turut menulis perkara sama terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan doktor.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas tahap kesihatannya dilaporkan merosot.
Beliau bagaimanapun sudah dibenarkan keluar, pada Ahad.