BANGI – Pusat Peningkatan Akademik & Pakar Dalam Membantu Pelajar SPM (PTTI) kini lebih terkehadapan sebagai pusat tuisyen yang memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi melaksanakan agenda membina rangkaian profesional dalam bidang pendidikan, usahawan dan penyelidikan.
Dokumen pemeteraian masing-masing ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman.
Tandatangan perjanjian itu disaksikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof Dr Mohd Mahzan Awang dan Ketua Pegawai Operasi PTTI, Muhd Habibunajjar Sazali.
Siti Farhana berkata, kerjasama kedua-dua pihak bakal menjadi batu loncatan dalam memartabatkan lagi bidang pendidikan negara.
“PTTI sangat berbangga dan berbesar hati dapat bekerjasama dengan UKM dan ia sekali gus menjadi batu loncatan kepada kami untuk membantu mengangkat martabat pendidikan negara.
“MoU ini bakal membuka peluang dan menggali potensi kerjasama antara institusi pendidikan awam dan swasta (IPTA/IPTS) dalam usaha menaiktaraf bidang pendidikan negara selain membantu kebolehpasaran graduan,” katanya.
Dalam masa sama, Siti Farhana mengalu-alukan kerjasama dengan badan atau organisasi pendidikan lain dalam negara dalam usaha membina rangkaian profesional melalui kepakaran pelbagai bidang itu.
Sementara itu, Prof Norazah berkata, kerjasama itu bakal memberi impak positif kepada kedua-dua pihak.
“Kerjasama ini bakal memberi impak besar merangkumi penawaran latihan industri kepada pelajar prasiswazah Fakulti Pendidikan di PTTI.
“Pelajar dibimbing untuk merancang dan melaksanakan pemasaran, jerayawara, tugasan pentadbiran serta pelbagai jenis bengkel secara bersemuka dan dalam talian.
“Selain itu, turut diadakan penganjuran ceramah keusahawanan berkaitan bidang pendidikan dan penghantaran tenaga pengajar PTTI melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah di UKM,” katanya.