editor@aatvnews.com

MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN KWAPM DAN MAJLIS PECAH TANAH SURAU BAHARU

Simpan Pertang, 15 Julai 2023 – Ahli Parlimen Jelebu merangkap Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, YB. Datuk Seri Haji Jalaluddin Bin Haji Alias telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di Sekolah Kebangsaan Pasoh 4 (F), Simpang Pertang, Jelebu.

Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) ini melibatkan 84 orang pelajar yang layak. Setiap pelajar akan menerima wang tunai sebanyak RM100 daripada KWAPM. Bantuan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan mereka dan meningkatkan taraf pendidikan pelajar.

Selain daripada Majlis Penyampaian Bantuan KWAPM, turut diadakan satu Majlis Pecah Tanah Surau Baharu. Majlis ini dilancarkan sebagai simbolik permulaan bagi membina surau baharu yang akan memberi manfaat kepada guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Pasoh 4 (F).

Pelaksanaan projek dijangka akan siap dibina dalam tempoh 3 bulan setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS). Komposisi pembangunan surau baharu ini mempunyai keluasan 28′ x 18′ kaki persegi dan mampu memuatkan hampir 180 orang jemaah.

Pembinaan surau baharu ini juga adalah hasil sumbangan daripada YB. Datuk Seri Haji Jalaluddin Bin Haji Alias berjumlah RM 100,000 melalui dana Projek Mesra Rakyat.

Majlis ini turut dihadiri oleh Tuan Noor Azmi Bin Yusof, mantan ADUN Kawasan Pertang, Tuan Putra Bin Hashim, Pegawai Pendidikan Daerah Jempol, ASP Rasidi Bin Abd Rashid, wakil Ketua Polis Daerah Jelebu, Tuan Kamarul Azizi Bin Dolah, Guru Besar SK Pasoh 4 (F) dan Encik Wan Asmat Bin Wan Ngah, YDP PIBG SK Pasoh 4 (F).

Leave a Reply