editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Terus mengembangkan empayar jenama mewah, Rizman Ruzaini mahu merealisasikan impian untuk meluaskan pasaran ‘offline store’ di seluruh negara, lengkap dengan kesemua rangkaian produk keluarannya, dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi.

Meskipun hampir setiap bulan mengeluarkan rekaan baharu, pereka fesyen duo, Rizman Ruzaini terus kekal dengan segmentasi untuk golongan yang memilih harga mewah dan pembeli pada harga mampu milik (RR Flagship) namun kedua-duanya mengikut kesesuaian kualiti dan harga.

Rizman atau nama sebenar, Rizman Nordin berkata jenama berkenaan sedang dalam perancangan untuk membuka ‘offline store’ secara berperingkat di seluruh negara, beberapa bulan lagi.

Pada masa yang sama, katanya, mengekalkan pengeluaran produk sedia ada dengan skala lebih besar.

“Secara jujurnya, apa yang kita beri kepada pelanggan adalah produk berkualiti bertepatan dengan harga. Harga kita juga sudah ada yang sangat marhaen.

“Rizman Ruzaini dan RR (mampu milik) terkenal dengan kualiti yang dihasilkan. Kita jarang dapat ‘complaint’ jadi kita nak kekalkan momentum itu dengan kekalkan produk yang kita keluarkan, ‘method distribution’ yang akan kita besarkan.

“Sebelum ini RR dijual secara ‘online’, dua tiga bulan lagi akan ada sekurang-kurangnya 10 ‘offline store’ Rizman Ruzaini untuk semua produk (dan RR) di seluruh negara.

“Kita akan buka di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Johor, untuk fasa pertama manakala Flagship RR Store juga akan dibuka dalam masa terdekat,” katanya.

Rizman berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun kedua segmen tudung RR Mono Scarves, dengan pelancaran produk baharu iaitu RR Geometrik selain pembukaan ‘pop-up store’ jenama RR, di pusat beli belah KL East.

Majlis sama turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Ziana Zain dan Ernie Zakri.

Sementara itu, Rizman, 39, berkata acara kemuncak RR Mono Scarves adalah pada hari sambutan ulang tahun skaf Rizman Ruzaini, 29 Julai ini.

“Kami menjemput mereka yang sudah memiliki RR Mono Scarves dan tawaran istimewa untuk 200 yang pertama, akan terima tudung edisi khas Rizman Ruzaini secara percuma. Mereka hanya perlu pakai RR Mono Scarves ke acara tersebut,” katanya.

Ruzaini pula berkata, sambutan baik diberikan kepada jenama Rizman Ruzaini membuatkan pereka fesyen itu teruja untuk terus mengeluarkan idea baharu mengikut citarasa pelanggan.

“Kami di Rizman Ruzaini memang sangat mementingkan kualiti. Disebabkan itu, kebanyakan pembeli terus setia dengan jenama ini.

“Selain itu, kami sangat aktif mengeluarkan skaf dan boleh dikatakan, setiap bulan ada keluaran baharu. Apa yang kami lakukan ini supaya pelanggan dapat mengumpul pelbagai jenis skaf keluaran kami.

“Kalau diikutkan skaf ini hanya dipasarkan secara dalam talian dan tidak lama lagi akan dijual di butik kami seluruh Malaysia. Hujung tahun ini kami akan buka sekali gus di lima tempat. Jadi, pembeli boleh lihat dan rasai secara dekat kualitinya,” katanya.