SHAH ALAM, 11 Julai 2022 – Cadangan kerajaan Negeri Selangor yang mahu merobohkan Stadium Shah Alam bagi menggantikannya dengan projek pembangunan semula berdensiti tinggi yang menelan kos RM350 juta turut dipersoal oleh Pertubuhan Kami Prihatin Selangor.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kami Prihatin Selangor, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’kop, Stadium Shah Alam yang merupakan salah satu bangunan ikonik di Asia Tenggara ini sepatutnya boleh dibaikpulih dengan kos anggaran RM50 juta sahaja.

“Untuk membangunkan stadium yang baharu, ia akan menelan kos sehingga RM350 juta dimana kos itu adalah jauh lebih tinggi daripada kos jika dibaikpulih iaitu RM50 juta sahaja.

“Perkara ini perlu diambil perhatian Menteri Besar untuk memikirkan cara terbaik untuk membaikpulih Stadium ini kerana ia juga turut melibatkan keselesaan penduduk di kawasan sekitar stadium ini,” katanya ketika sidang media di pekarangan Stadium Shah Alam, disini hari ini.

Sebelum ini, media pada 29 Jun turut melaporkan bahawa gelanggang rasmi pasukan bola sepak Red Giants ini akan dirobohkan bagi menggantikan dengan sebuah stadium baharu yang berkapasiti lebih kecil.

Dakwanya, stadium baharu itu nanti akan berkapasiti sehingga 40,000 orang dan lebih senang diurus & diselenggara berbanding dengan Stadium Shah Alam ketika ini yang berkapasiti sehingga 80,000 orang

Ahmad Mua’adzam Shah turut berasa sedih dengan perkara ini kerana Stadium Shah Alam menjadi mangsa kelemahan Kerajaan Negeri Selangor yang gagal mengurus kewangan dengan baik untuk menyelenggara dan membaikpulih fasiliti stadium Shah Alam ini mengikut jadual.

“Stadium Shah Alam ini bangunan ikonik Sukan Negeri bukan sahaja untuk sukan bola sepak bahkan boleh digunakan juga untuk acara sukan yang lain.

“Semua yang berlaku harini adalah berpunca daripada kelemahan pengurusan kewangan kerajaan negeri. Jadi, kalau bab penyelenggaraan ini sudah tentulah kita tahu berapakah bajet yang kerajaan boleh dahulukan untuk kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan ini.

“Apabila sudah jadi begini sehingga bangunan sudah tidak boleh digunakan, saya rasa sangat sedih, katanya

Leave a Reply