SHAH ALAM, 11 Julai 2022 – Satu Jawatankuasa khas Selamatkan Stadium Shah Alam yang ditubuhkan bersama wakil-wakil beberapa persatuan penduduk seksyen 13 Shah Alam serta beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini membantah cadangan Kerajaan Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula projek pembangunan bercampur berdensiti tinggi di kawasan itu.
Menurut Pengerusinya, Datuk Salamon Selamat,
cadangan itu bukan sahaja bertentangan dengan dasar perancangan asal pembangunan di kawasan tersebut tetapi ia juga akan memberi memberi kesan negatif kepada penduduk Seksyen 13 serta sekitarnya.
“Jawatankuasa ini menggesa Stadium Shah Alam dikekalkan dan dibaikpulih dengan segera.
“Satu pasukan pengurusan khas yang dianggotai ahli-ahli professional hendaklah dibentuk & ditubuhkan segera untuk mengurus dan menyelenggara stadium ini.
“Dengan itu, Stadium Shah Alam ini boleh berdikari dari segi kewangan, berdaya maju dan berdaya saing untuk menjadi gelanggang rasmi pasukan bola sepak Selangor,” katanya ketika sidang media di pekarangan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media pada 29 Jun lalu ada melaporkan bahawa gelanggang rasmi pasukan bola sepak ‘The Red Giants’ itu bakal akan dirobohkan untuk digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil daripada yang asalnya.
Kerajaan Negeri Selangor mendakwa, Stadium baharu yang bakal dibina itu nanti akan berkapasiti antara 30,000 hingga 40,000 orang supaya ianya akan lebih mudah untuk diselenggarakan berbanding sekarang ini yang boleh memuatkan sehingga 80,000 orang.
Perobohan stadium shah alam ini sebenarnya adalah satu kisah sedih yang tidak akan dilupakan rakyat selangor masa kini mahupun akan datang, tambah Datuk Salamon
Kata Datuk Salamon, “Memorandum bantahan Perobohan Stadium Shah Alam ini sudah pun dihantar kepada Menteri Besar Selangor pada 7 Julai baru-baru ini.
“Stadium Shah Alam ini merupakan salah satu ikon warisan sejarah pembangunan Shah Alam serta menjadi kebanggaan rakyat Selangor khususnya. Ia juga menjadi lambang kejayaan dan kecemerlangan pembangunan sukan bola sepak Selangor.