editor@aatvnews.com

PADANG TERAP, 31 Julai – Gelombang dan ribut taufan yang menolak Narisan Nasional (BN) dan menyebelahi Perikatan Nasional (PN) di Kedah sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sudah reda dan telah berlalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau secara peribadi merasa yakin akan ada perubahan yang berlaku di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Gelombang yang berlaku pada November tahun lalu (PRU15) memang sangat besar hingga membolehkan PN mendapat terlalu banyak undi. Tetapi dalam PRU-14 iaitu sebelum gelombang itu wujud, Pas cuma menang 15 kerusi saja dan tidak dapat menubuhkan kerajaan.

“Yang menubuhkan kerajaan ketika itu adalah PH sebelum kerajaan itu diambil alih Pas di tengah jalan.

“Kini gelombang dalam PRU15 sudah tiada dan kita kembali kepada keadaan asal. Jadi tanpa ada gelombang dan angin yang kuat itu, maka saya jangkakan akan berlaku persaingan sengit melibatkan PN dengan gabungan BN serta PH bagi memerintah negeri ini,” katanya ketika ditemui media sewaktu berkempen di Kampung Kubang Kenyeng di sini, hari ini.

Jelas Mahdzir, ketika ini kalangan penduduk mula menyedari betapa mereka tidak boleh menolak BN begitu saja setelah melihat perbezaan khidmat antara wakil rakyat BN dan PN di kawasan tersebut.

“Dalam PRU15, yang datang pada waktu itu bukan angin biasa-biasa sebaliknya ribut taufan yang menyebelahi PN. Penilaian untuk mengundi sudah tidak bergantung kepada khidmat tetapi lebih kepada sentimen agar terus menolak BN walau siapa pun calonnya.

“Disebabkan itu saya sering ingatkan agar rakyat mengundi kerana perkhidmatan dan bukan kerana gelombang. Fikir semula apa manfaat yang mereka terima jika sekadar menderu mengikut gelombang, tanpa menilai perkara-perkara lain termasuk khidmat bakal diberikan wakil rakyat,” katanya.

#MahdzirKhalid #TokDet #PRNKedah #KalihKasiSama

Leave a Reply