Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan kejadian menghina Agama Islam yang tular di Media Sosial baru-baru ini.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi berkata semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengelak dari membuat sebarang provokasi melibatkan agama, bangsa dan negara.
“Tidak kira agama apa pun, jangan hina agama sendiri atau agama orang lain, hormat sesama kita,” tegas Nadzim
Beliau juga turut mengingatkan kepada semua rakyat agar perlu hormat sesama sendiri atau akan menerima padah yang akan datang dari pelbagai penjuru.
“Cari keharmonian bukan kebencian. Kita sedang berdepan pelbagai krisis dan ancaman terhadap negara, jangan ditambah perbalahan sesama kita.” katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.
Terdahulu, tularnya sebuah video sejak beberapa hari lalu dipercayai melibatkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan menghina nabi dan agama Islam di ruangan TikTok milik penghantar makanan itu.
Susulan daripada kejadian itu, PPIM telah pun dimaklumkan lelaki tersebut ditahan polis melalui tindakan beberapa orang yang bertindak sendiri terhadap lelaki itu.