editor@aatvnews.com

Jika berhasrat hendak membawa keluarga bercuti ke luar negara, pastinya kita akan memilih tempat atau negara yang selesa dan mesra keluarga.

Di mana negara itu memberikan banyak kemudahan untuk kita seisi keluarga.

Dalam usaha mempromosikan kempen Salam Taiwan, negara ini adalah salah satu yang mesra keluarga dan boleh dimasukkan dalam ‘bucket list’ anda.

Ini kerana ada beberapa tempat yang wajib menjadi persinggahan buat anda dan seisi keluarga. Jika diikutkan banyak lagi tempat menarik yang tersedia di Taiwan yang mungkin boleh anda dapatkan di carian Google.

Ini antara beberapa tempat yang sempat penulis kunjungi ketika lawatan percutian ke Taiwan baru-baru ini.

Selain meneroka Taipei, penulis turut dibawa meneroka lebih banyak tempat menarik yang terdapat di bandar Taichung yang juga kawasan tumpuan pelancong.

Lihpao Land Resort, Taiyi Leisure Farm, Qinjing Farm adalah tempat yang berada di daerah Taichung, Taiwan.

Boleh dikatakan tiga tempat ini antara yang menjadi tumpuan tidak hanya pelancong luar, malah ia juga sentiasa penuh dengan pelancong tempatan pada waktu cuti sekolah.

Lihpao Land Resort

Berkunjung ke sini terasa seperti berada di kota keriangan Genting Highlands, kerana terdapat pelbagai keseronokan bermain di taman tema Lihpao Land untuk anda seisi keluarga.

Puas sudah bermain, mahu mencuci mata membeli belah, jangan risau di sebelah taman tema tersedia deretan kedai berjenama terkenal luar dan dalam.

Lihpao Outlet Mall syurga membeli belah yang mungkin tidak cukup untuk anda jika berjalan beberapa jam sahaja.

Mahu lebih puas semalaman di sini, jangan risau terdapat beberapa hotel berdekatan.

Ibaratnya di sini semua ada, tidak perlu melalui perjalanan jauh dan lama berada di dalam kereta.

Semuanya serba cukup dan lengkap tersedia di Lihpao Land Resort yang terletak di Taichung bandar kedua terbesar selepas Taipei, Taiwan.

Taiyi Leisure Farm

Dengan suasana romantik, mendengar bunyi cengkerik dan melihat kehijauan yang nyaman dan menyenangkan, memang tidak cukup jika hanya menginap satu malam di sini.

Jauh daripada kesibukan kota, namun tempat ini sesuai untuk anda yang bercuti bersama keluarga kecil mahupun besar.

Meskipun agak jauh perjalanan hampir dua jam daripada bandar Taichung, kepenatan tidak akan terasa tatkala melihat suasana kehijauannya yang mencengkam jiwa.

Menginap di Tai Yi Red Maple Resort, anda berpeluang meneroka kawasan berhampiran yang turut terdapat Sun Moon Lake, sebuah tasik indah yang melatari banyak bangunan unik dan klasik.

Tidak jauh dari Taiyi Leisure Farm, marilah singgah pula ke Qinjing Farm bermain dengan biri-biri.

Bagi yang tidak berpeluang ke New Zealand atau Desa Cattle Dairy Farm, Sabah, jangan lepaskan peluang singgah ke sini jika anda datang ke Taichung.

Suasana pergunungan yang menghijau kadang-kadang terasa seperti berada di atas langit atau di satu kawasan yang jauh daripada penempatan.

Apa yang penting, kunjungan anda ke semua tempat-tempat yang disarankan sangatlah mudah untuk mendapatkan makanan halal meskipun tidak banyak pilihan.

Setiap penginapan yang tersedia juga menyediakan sejadah, al-Quran dan penunjuk arah untuk melakukan solat.

By Cynthia

Leave a Reply