KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO Kepong yakin pembangkang kini sudah tidak ada modal lagi untuk melemparkan fitnah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas pendakwaan menghentikan prosiding perbicaraan 47 pertuduhan yang dihadapi.
Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPR Abdul Razak Abdul Rahman berharap keputusan itu memberi nilai tambah kepada Zahid dan partinya.
“Syukur, keputusan tersebut beri impak positif. Tidak hanya kepada Zahid sebagai presiden UMNO tetapi kepada UMNO sendiri.
“Belah sana tak ada modal nak lempar tomahan-tomahan fitnah kepada Zahid sebagai presiden parti dan menjatuhkan kredibiliti parti kita,” katanya ketika ditemui AATV News.
Abdul Razak juga berharap momentum UMNO dapat diteruskan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram Sabtu ini.
“Kita harap dapat ramai-ramai ahli UMNO keluar undi pada PRK nanti,” katanya.
Sementara itu, Abdul Razak berkata keputusan itu juga satu peluang kepada Zahid dan ahli-ahli parti sendiri untuk berlapang dada menerima keputusan mahkamah dengan impak positif dan menjadikan satu kemenangan kepada UMNO.
Jelasnya, tuduhan kepada Zahid hanya konspirasi politik untuk jatuhkan kredibiliti presiden UMNO.
“Kemerosotan undi kepada BN adalah disebabkan kes-kes sebelum ini. Selepas ini boleh gerak ke depan dengan lebih berani dan bangga kerana presiden kita jelas tak ada kes untuk dikenakan.
“Ahli parti perlu terima langkah baru ke depan. 4 tahun lagi Pilihan Raya Umum (PRU). Ini langkah permulaan untuk tarik pengundi kita sendiri demi perjuangan parti kita,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu, membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu dibuat Hakim, Collin Lawrence Sequerah, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, ketika kes itu sedang berada peringkat prosiding bela diri.