KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPR Abdul Razak Abdul Rahman berpandangan keputusan pendakwaan menghentikan prosiding perbicaraan 47 pertuduhan yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi kesan positif untuk Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Beliau berkata selain Zahid, pemimpin UMNO lain termasuk Najib juga harus mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Secara moral ya (boleh). Kita percaya dengan adanya momentum tentang pembebasan Zahid akan beri kesan positif khas kepada pihak penggubal undang-undang untuk kembali nilai tentang bagaimana perjalanan proses mahkamah yang sepatutnya berlaku.

“Saya percaya secara moral beri kemenangan kepada kita dan kita harap disusuli dengan kes Najib dan ahli parti lain,” katanya kepada AATV News.

Abdul Razak juga secara peribadi berkata Najib perlu mendapat hak pembelaan yang sewajarnya dan diberi ruang dalam mengadili kesnya.

Beliau berkata sebagai Orang Kena Tuduh (OKT) perlu diberi ruang untuk melantik peguam baru dan kemukakan bukti baru.

“Patut beri hak dan ruang pertahankan diri dia,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu, membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat Hakim, Collin Lawrence Sequerah, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, ketika kes itu sedang berada peringkat prosiding bela diri.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Leave a Reply