KUALA LUMPUR – Masyarakat perlu memahami bahawa pembedahan bariatrik bukan khusus untuk kecantikan, sebaliknya peluang kedua bagi pesakit yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) berlebihan disertai penyakit metabolik seperti kencing manis untuk menjalani gaya hidup lebih sihat.

Ini kerana, Pakar Perunding Pembedahan dan Bariatrik Terbaik Asia Pasifik, Dr Mustafa Mohammad Taher berkata pembedahan bariatrik adalah rawatan klinikal bagi mengatasi masalah obesiti yang tidak boleh dilakukan sesuka hati, tetapi mengikut garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) ditetapkan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Kita mesti faham jenis obesiti. Ada orang badannya besar, berat sehingga kira-kira 200 kilogram (kg) tetapi tiada penyakit, tapi dia layak buat bariatrik. Ada juga badan tak berat sangat (rujuk BMI), tapi nak buat benda ini tak boleh suka hati.

“Kita ikut garis panduan di Malaysia dan standard antarabangsa. Obes kelas teratas sudah tentu layak, obes kelas 1, ada penyakit boleh buat, dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program sidang media bersama artis yang telah melakukan pembedahan bariatrik dan pengiktirafan sebagai Pakar Bedah Terbaik Asia Pasifik, di Hadramawt Kitchen, Jalan Ampang, di sini.

Dr Mustafa yang sudah menjalankan lebih 2,000 pembedahan bariatrik sejak kira-kira lima tahun lalu itu malah berkata, mereka juga perlu benar-benar bebas daripada sebarang bentuk kanser sebelum layak menjalani pembedahan itu.

“Pembedahan ini boleh menjadikan kurus, tetapi disebabkan mempunyai masalah berat badan, selain kita nak lawan 65 penyakit disebabkan berat badan berlebihan ini. Apabila berat badan turun, ia bonus,” katanya yang kini berkhidmat di Pusat Perubatan Hospital Cengild, Bangsar, di sini.

Justeru, beliau amat menyarankan mereka yang sudah menjalani pembedahan itu supaya mengamalkan disiplin pemakanan dan gaya hidup yang betul sehingga ia menjadi rutin harian.

“Kurangkan pengambilan gula dan karbohidrat, latihan senaman sekerap mungkin sehingga ia jadi sebahagian dalam hidup anda,” katanya yang pernah berkhidmat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Sementara itu, barisan artis yang hadir antaranya Datuk Khaty Ibrahim, Datuk Ziela Jalil, Ziana Zain, Zarina Zainudin selain orang awam termasuk seorang daripadanya pernah mempunyai berat hampir 200kg berkongsi pengalaman positif masing-masing selepas menjalani pembedahan.

Bagi penyanyi, Ziana Zain, setiap diri kita tidak boleh ‘hentam keromo’ mengambil pemakanan tanpa meneliti jumlah pengambilan yang betul.

“Kita perlu ada ‘mindset’, didik usus dan perut supaya mengawal, jaga jumlah pengambilan makanan. Tak boleh hentam keromo.

“Kalau dulu berat saya 64 kg, sekarang dah 50 kg, saya ada asid refluks yang saya sangkakan angin, sakit lutut, tetapi sekarang dah tak ada, nafas pun panjang, dapat tenaga semula. Jadi, jaga kesihatan dulu, baru duit. Nak kurus sebab cantik? Salah. Kurus adalah bonus,” katanya.

Begitu juga penyanyi Datuk Khaty dan pelakon Zarina Zainuddin masing-masing tidak menyorok perbuatan menjalani pembedahan itu, kerana bertujuan demi kesihatan.

“Saya ada masalah ulu hati, dan saya buat bariatrik, dan saya tak sorok hal ini, sekarang masalah itu tidak ada,” kata Khaty.

“Sebelum buat pembedahan, memang kena lalui beberapa pemeriksaan kesihatan, terkejut saya apabila ada kolestrol teramat tinggi kerana saya sangka saya sihat, suka ‘bantai’ makan, cuma tumit selalu sakit, sekarang tak ada lagi,” kata Zarina.

INFO tambahan

* Malaysia pernah mencapai gelaran negara ‘paling gemuk di di Asia’ dengan kadar 30.6 peratus, dan kadar tiga daripada 10 rakyatnya mengalami obesiti.

* Kehamilan selepas pembedahan bariatrik adalah lebih selamat dengan komplikasi lebih sedikit berbanding kehamilan bagi wanita obesiti.

* Layak melalui pembedahan bariatrik ;-
– BMI 40 atau lebih.
– BMI antara 35 hingga 39.9 bersama risiko kesihatan seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan apnea tidur.
– BMI 30 jika berisiko tinggi.

* Kanak-kanak berpotensi alami obesiti, bagaimanapun, pembedahan bariatrik dalam kalangan kanak-kanak obesiti belum ada di Malaysia.

* Pengkelasan BMI Malaysia (Asia Pasifik)
* Sihat (unggul) : 18 – 23.5
* Berlebihan : 23.5 – 27.5
* Obes tahap 1 : 27.5 – 32.5
* Obes tahap 2 : 32.5 – 37.5
* Obes Tahap 3 : 37.5 -47.5
* Terlalu obes : Melebihi 47.5