KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 wanita dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei berhimpun di Matrade Hall, Kuala Lumpur sempena Program Cahaya Hati 1.0: Bangkitlah Jiwa, Temui Cahaya Bahagia.

Program anjuran One World Muslimah (OWM) itu bertujuan membantu wanita berdepan tekanan emosi, depresi serta kekosongan jiwa untuk kembali menemui ketenangan melalui pendekatan rohani dan pengisian keimanan.

Presiden One World Muslimah, Noor Razlina Noor Mohamed, berkata program terbabit diilhamkan selepas pihaknya menyedari semakin ramai wanita kini berdepan cabaran mental dan emosi yang semakin serius dalam kehidupan seharian.

“Ramai wanita datang kepada kami dalam keadaan tertekan, kecewa dan hilang semangat. Program ini diwujudkan untuk membantu mereka mencari ketenangan melalui ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

“Ada di antara mereka yang mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana untuk mencari ilmu serta pengisian rohani. Oleh sebab itu, Cahaya Hati 1.0 ini diwujudkan bagi membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk kembali bangkit,” katanya.

Program yang sarat dengan mesej inspirasi itu turut menampilkan kehadiran pendakwah dan aktres terkenal Indonesia, Ustazah Dr. Oki Setiana Dewi, yang dibawa khas dari Mesir, bersama pasangan aktivis kemanusiaan antarabangsa, Datin Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, atau lebih dikenali sebagai The Helmis.

Menurut Oki Setiana Dewi, beliau terpanggil untuk menyertai program itu kerana percaya majlis ilmu sebegini memainkan peranan penting dalam menyembuhkan hati wanita yang terluka.

“Saya datang bukan sekadar untuk menyampaikan ceramah, tetapi juga untuk bermuhasabah bersama para peserta. Jika ada yang menangis ketika mendengar, mungkin itu tandanya Allah sedang menyapa hati mereka,” katanya.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada jenama fesyen Muslimah terkemuka, Minaz, yang tampil bukan sekadar sebagai penaja, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam memperkukuh kesejahteraan holistik wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza Abdul Hamid, yang turut dijemput sebagai penceramah berkata, penglibatan Minaz dalam program ini adalah manifestasi komitmen jenama itu terhadap pembangunan spiritual dan emosi wanita moden.

“Di Minaz, kami percaya kecantikan sejati bermula dari dalam. Kami bukan sekadar menjual pakaian, tetapi mendukung perjalanan setiap Muslimah untuk merasa yakin, tenang dan berdaya.

“Melihat cabaran emosi dan mental yang semakin membebankan wanita hari ini, kami terpanggil untuk memberi sokongan penuh kepada Program Cahaya Hati 1.0 sebagai satu bentuk sumbangan kepada kesejahteraan Masyarakat,” katanya.

Katanya, penyertaan Minaz dalam program berimpak tinggi seperti ini mencerminkan nilai teras jenama itu yang bukan sahaja menitikberatkan gaya luaran, tetapi juga kekuatan dan ketenangan dalaman wanita Muslimah.

Susulan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran pertama ini, One World Muslimah kini merancang untuk meneruskan kesinambungan program tersebut menerusi Cahaya Hati 2.0 pada Disember ini, sebelum memperluasnya ke peringkat antarabangsa melalui Cahaya Hati 3.0 yang bakal diadakan di Brunei.

Noor Razlina optimis penglibatan tokoh-tokoh berpengaruh dan figura inspirasi dalam program sebegini mampu menarik minat lebih ramai wanita untuk hadir, seterusnya memperkukuh kesejahteraan rohani dan mental wanita di rantau ini.

“Kami mahu wanita sedar bahawa mereka tidak keseorangan. Cahaya hati itu sentiasa ada, cuma perlu dicari dan dibangkitkan semula,” katanya penuh harapan.

By Cynthia

Leave a Reply