×

OK Group perkukuh penjenamaan, lantik Fattah Amin sebagai Duta Minuman Tenaga, sasar pasaran global

OK Group perkukuh penjenamaan, lantik Fattah Amin sebagai Duta Minuman Tenaga, sasar pasaran global

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuh jenama tempatan di peringkat antarabangsa, Orang Kampung Group (OK Group), syarikat yang terkenal dengan produk berasaskan herba sejak 1975, mengorak langkah strategik apabila melantik pelakon dan ikon gaya hidup sihat, Fattah Amin, sebagai Duta Produk Minuman Tenaga Orang Kampung.

Pelantikan selebriti popular itu mencerminkan komitmen OK Group untuk menyuntik nafas baharu dalam strategi pemasaran syarikat, khususnya bagi mendekati golongan pengguna muda dan aktif yang mengutamakan gaya hidup sihat, kecergasan serta pemakanan berasaskan sumber semula jadi.

Menerusi kerjasama ini juga, syarikat mengukuhkan lagi kedudukan jenama yang sinonim dengan herba warisan tempatan, sambil mengekalkan identiti tradisional dalam pendekatan moden dan kontemporari.

Pengarah Urusan OK Group, Datuk Habibul Ajmi Datuk Manggar berkata, pemilihan Fattah Amin adalah bertepatan dengan matlamat syarikat dalam meremajakan jenama dan menjangkau demografi pengguna yang lebih luas.

Beliau berkata, Fattah bukan sahaja memiliki pengaruh besar dalam kalangan pengguna muda, malah membawa imej bersih, berdisiplin dan sihat yang mencerminkan nilai-nilai jenama Orang Kampung.

“Fattah mewakili semangat dan gaya hidup yang kami perjuangkan selama ini.

“Kami percaya pelantikannya bukan sekadar meluaskan capaian jenama di pasaran domestik, tetapi juga berupaya menarik perhatian kumpulan pengguna wanita yang sering menjadi penentu utama dalam keputusan pembelian isi rumah,” katanya.

Kerjasama ini turut diserikan dengan pelancaran produk edisi terhad, KF Limited Edition, yang hadir dengan pembungkusan eksklusif dan reka bentuk istimewa.

Varian istimewa ini hanya boleh didapati di lokasi terpilih seperti stesen PETRONAS Mesra, pasar raya Mydin dan platform e-dagang utama menandakan strategi pembezaan jenama yang lebih agresif dalam pasaran runcit.

Bagi Fattah Amin sendiri, kerjasama ini amat bermakna kerana jenama Orang Kampung bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupannya.

Dia mengakui sejak kecil, produk keluaran OK Group sudah menjadi pilihan utama keluarganya.

“Saya membesar dengan jenama ini. Ibu bapa saya pengguna setia produk Orang Kampung.

“Kini, apabila saya diberi kepercayaan menjadi duta jenama ini, ia satu penghormatan besar buat saya.

“Sebagai pelakon, saya sering berdepan hari bekerja yang panjang dan menuntut tenaga tinggi jadi minuman tenaga berasaskan herba semula jadi ini memang sesuai dengan rutin harian saya,” katanya.

OK Group yang berpusat di Melaka bermula sebagai syarikat pengeluar produk tradisional seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

Dengan sokongan teknologi moden dan piawaian pengilangan tinggi, syarikat kini beralih kepada penawaran produk minuman tenaga yang tidak hanya mengekalkan ramuan tradisional, malah diformulasi mengikut standard MESTI, diiktiraf HALAL oleh JAKIM dan mematuhi garis panduan ketat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketika ini, OK Group menawarkan tiga varian utama dalam rangkaian minuman tenaganya.

Varian KF, khusus untuk wanita, mengandungi Kacip Fatimah yang membantu mengekalkan kesegaran tubuh dan tenaga secara semula jadi.

Varian Longjack pula, sesuai untuk lelaki dan wanita, menggabungkan manfaat Tongkat Ali dan Guarana bagi membantu meningkatkan stamina serta daya fokus.

Sementara itu, Longjack X adalah varian paling terkini, diformulasi khas untuk mereka yang menjalani gaya hidup aktif dan memerlukan prestasi tenaga lebih intensif sepanjang hari.

Di sebalik kejayaan dalam pasaran domestik, jenama minuman tenaga Orang Kampung turut menunjukkan prestasi memberangsangkan di pasaran antarabangsa, khususnya di Singapura dan Brunei.

Permintaan terhadap produk berasaskan herba yang selamat dan semula jadi semakin meningkat, membuka peluang luas kepada syarikat untuk terus berkembang di peringkat global.

Seiring dengan sasaran ini, OK Group kini dalam perbincangan dengan beberapa rakan dagang luar negara untuk menembusi pasaran Eropah.

Fokus utama adalah kepada komuniti Asia Tenggara di rantau terbabit serta pengguna yang menghargai alternatif semula jadi dalam kategori minuman tenaga.

Usaha ini termasuk merangka rangkaian pengedaran eksklusif yang mampu menyokong pelan pengembangan antarabangsa secara mampan.

Dengan gabungan wajah duta yang berpengaruh, produk berkualiti tinggi dan strategi pemasaran yang menyeluruh, OK Group kini bersedia untuk melangkah lebih jauh membuktikan bahawa produk tempatan berasaskan warisan herba Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekaligus mengangkat nama Malaysia di persada dunia.