KUALA LUMPUR, 17 November 2025 — Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara hari ini membuat seruan terbuka kepada semua pemandu lori serta pengusaha lori seluruh Malaysia untuk turun berhimpun secara aman pada Rabu, jam 2 petang di Pintu Gerbang Parlimen Malaysia, sebagai tanda solidariti terhadap tekanan dan kesusahan yang mereka dakwa berpunca daripada pelaksanaan undang-undang pengangkutan yang terlalu ketat.
Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, bersama pasukannya termasuk Saudara Kumaran, menyifatkan himpunan ini sebagai “final countdown” menjelang penyerahan memorandum rasmi kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Perdana Menteri.
Menurut beliau, ramai pengusaha lori dari seluruh negara menghubunginya setiap hari — termasuk dari Johor, Kedah, Kulim dan Butterworth — meluahkan rasa teraniaya dan terbeban oleh isu-isu berkaitan penguatkuasaan had Berat Dengan Muatan (BDM), khususnya bagi kategori roll-on roll-off (RoRo).
“Kalau undang-undang demi keselamatan, kita sokong. Tapi bila peraturan itu menyusahkan, memudaratkan pendapatan dan kesejahteraan keluarga pemandu lori, ia perlu diteliti semula,” tegasnya.
Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan himpunan ini bukan bersifat politik, tidak memihak kepada mana-mana parti, dan tidak berniat memprovokasi mana-mana agensi kerajaan. Sebaliknya, ia adalah suara rakyat — khususnya golongan pemandu lori — yang menurutnya semakin tertekan akibat pelaksanaan peraturan yang tidak selaras dengan realiti di lapangan.
Beliau turut meminta semua peserta agar hadir dengan pakaian biasa tanpa sebarang logo parti politik sebagai tanda bahawa perjuangan ini adalah milik semua rakyat, bukan mana-mana blok politik.
“Kami bukan menentang kerajaan, bukan mewakili parti atau pembangkang. Ini suara mangsa — pemandu lori dan pengusaha lori warga Malaysia. Kita mahu Menteri Pengangkutan baca memorandum dengan teliti dan beri kenyataan selepas demonstrasi,” tambah beliau.
Setakat ini, difahamkan 5–6 bas dari Terengganu dan 5 bas dari Kelantan telah mengesahkan penyertaan ke himpunan aman tersebut.
Beliau menegaskan matlamat utama adalah mengangkat martabat pemandu lori serta mendesak kerajaan menilai semula polisi yang menjejaskan industri logistik tempatan.
“Kita datang secara aman. Kita tidak mahu rosakkan harta kerajaan atau rakyat. Kita turun demi ukhwah, demi solidariti, demi masa depan industri lori seluruh Malaysia,” katanya mengakhiri kenyataan.
#SolidaritiPemanduLori #BahanaKesetiaanNegara #HimpunanAman #SuaraPengusahaLori #ReformasiPengangkutan #KeadilanUntukPemandu #LoriMalaysiaBersatu #IsuBDM #AnthonyLoke #AATVNews
