Oleh: Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia
Wira PUTRA selar pandangan ahli Parlimen Pasir Mas untuk memberi insentif kredit karbon kepada negeri-negeri yang masih mempunyai hutan simpan yang banyak. Pandangan ini baik tetapi bersifat jangka pendek dan sekadar bersifat popoulis. Dengan keadaan bencana banjir yang semakin teruk sejak setahun dua ini sepatutnya pelan menangani banjir bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah di peringkat negeri juga perlu dimantapkan.
Negeri Kelantan sebagai contoh yang sering dipersalahkan kerana berlakunya pembalakan haram, komersil dan pembalakan tidak terancang perlu membuat satu dasar yang tegas bagi menjaga nyawa rakyat dan biodiversiti di kawasan Hutan Simpan dengan mengharamkan pembalakan sekurang-kurangnya bagi tempoh 50 tahun.
Seperti dakwaan ahli Parlimen Pasir Mas itu, Hutan Simpan di negeri Kelantan antara yang terbesar. Semua orang sedar kenapa ia masih banyak, kerana tiada pembangunan yang besar pun di negeri Kelantan. Walaupun lebih 30 tahun Pas memerintah, pembangunan yang perlahan membolehkan jumlah Hutan Simpan masih banyak, tapi malangnya pembalakan haram masih tidak mampu dikawal malah ada pendedahan pembalakan haram ini turut ada campur tangan dan penglibatan pemimpin-pemimpin di negeri itu.
Jumlah Hutan Simpan yang banyak pula bukan lesen untuk menghalalkan pembalakan. Sepatutnya sebagai Pemimpin muda perlu melihat lebih jauh bagi menjaga aset alam semula jadi di negeri itu supaya tak dijarah dengan kerakusan kapitalis. Ambil contoh negara Thailand yang serius dan tegas dalam menjaga hutannya. Kerajaan Persekutuan dan negeri di Malaysia patut melakukan perkara sama. Sebagai contoh mana-mana orang yang ditangkap melakukan pembalakan di Thailand akan dihukum mati. Walaupun negara mereka lebih besar dan mempunyai jumlah hutan yang lebih banyak, tetapi tiada kompromi bagi memastikan tiada lagi bencana yang boleh mengancam nyawa dan kemusnahan alam sekitar.
Cadangan mempertingkatkan kemudahan berteknologi untuk kegunaan renjer hutan bagi pengawasan yang lebih efektif adalah satu cadangan yang baik. Selain itu, sistem pelaporan juga perlu dipertingkat agar lebih tepat dan ‘real-time’ supaya dapat di kenalpasti mana-mana kawasan berlaku pencerobohan hutan setiap hari dan tindakan segera yang tegas boleh diambil.