CYBERJAYA, 19 JULAI 2022 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB), bagi meningkatkan kesedaran, membina kapasiti dan meningkatkan adaptasi kemampanan dan tindakan iklim merentasi perniagaan ekonomi digital.

UNGCMYB ialah rangkaian tempatan rasmi untuk Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC), yang bertujuan untuk melaksanakan gerakan global untuk kemampanan syarikat dan pihak pemegang taruh. UNGCMYB
berfungsi untuk membangkitkan, mengaktifkan dan mempercepatkan perniagaan Malaysia dan Brunei untuk menjadi lebih mampan dan menguntungkan.
MDEC yang juga merupakan agensi peneraju ekonomi digital Malaysia di bawah kendalian Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) yang memeterai
MoU berkenaan berdasarkan lima tumpuan iaitu:

  1. Membangunkan Panduan Tindakan Iklim dan Kit Alatan untuk perniagaan ekonomi digital dalam membantu mereka mengambil tindakan dan menilai pelepasan karbon mereka;
  2. Menerokai kaedah meningkatkan akses kepada program e-pembelajaran kemampanan berbayar untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mempromosikan sumber e-pembelajaran yang boleh diakses secara bebas, termasuk melalui Akademi Digital UNGC;
  3. Menggalakkan perniagaan ekonomi digital untuk mengadaptasi inisiatif yang mampu menangani perubahan iklim seperti penggunaan tenaga boleh
    diperbaharui atau kecekapan tenaga;
  4. Mempromosikan amalan kemampanan dalam kalangan organisasi teknologi untuk membantu mereka mencapai prestasi kemampanan; dan
  5. Membangunkan serta menjalin kerjasama dalam mengadakan program turun padang dan libat urus.

MoU tersebut telah dibangunkan berdasarkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua organisasi menerusi Laporan Kemampanan Perniagaan Pulse 2022, iaitu MDEC bertindak sebagai rakan kongsi.

Laporan yang dilancarkan pada 14 Julai 2022 berkenaan, menyasarkan untuk memperoleh pemahaman tentang sejauh mana perniagaan di Malaysia bersedia dalam adaptasi, mengukur, mengurus dan memantau kemampanan organisasi masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata pendekatan awam-swasta ke arah menerajui tindakan kemampanan adalah penting dan telah dijadikan sebagai keutamaan dalam pembangunan negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Kemampanan bukanlah sesuatu perkara yang baharu malah ia merupakan matlamat penting yang berkembang seiring dengan pembangunan ekonomi digital.

Sebagai agensi peneraju dalam menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat global, MDEC sangat komited dalam menggalakkan adaptasi amalan kemampanan dalam ekosistem ekonomi digital.

“Perniagaan mungkin berdepan kesukaran untuk mengintegrasikan matlamat SDGs berkenaan.

Justeru, MoU hari ini, merupakan sebahagian daripada usaha untuk menangani cabaran berkenaan dengan membantu menyediakan sumber dan bahan tindakan yang boleh diadaptasi oleh perniagaan untuk mencapai matlamat SDGs,”
kata beliau lagi.

Manakala, Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar berkata ekonomi digital akan menjadi nadi kepada pembangunan global pada masa depan dan ia akan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pelaksanaan pembangunan yang mampan.

“Menerusi kerjasama dengan MDEC, kami berhasrat untuk menjadikan ekosistem ekonomi digital Malaysia sebagai pemangkin kepada pembinaan negara yang mampan dan sebagai penyumbang global kepada pencapaian matlamat SDGs,” tambah Faroze lagi.

Selain itu, selaras dengan keutamaan Kerajaan, MoU ini akan menjadi platform negara untuk terus membina pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif kepada semua dan memastikan tiada siapa yang terpinggir.

Malaysia juga kekal komited kepada tindakan iklim dan sedang berusaha menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam RMK-12 dengan Kerajaan menyasarkan pengurangan sehingga 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, berbanding dasar pada 2005 iaitu untuk mencapai 31 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.

Leave a Reply