SHAH ALAM, 19 JULAI 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor terus komited untuk membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan subsidi dengan kerjasama strategik agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keberadaan bekalan barangan tersebut di pasaran dapat dinikmati oleh pengguna di Negeri Selangor ini.

Tegasnya, pada 18 Julai 2022 lalu, Pasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor telah menerima satu kes serahan daripada CPSK JKDKA, Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman dimana kes itu berlaku lebih kurang jam 11.00 malam di salah sebuah premis yang bertempat di Kampung Baru Subang, Shah Alam, Selangor.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Tuan Azman Bin Adam berkata, pihaknya akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan rakyat.

“Kes ini adalah satu aktiviti disyaki wujudnya perlakuan tidak beretika melibatkan barangan kawalan bersubsidi jenis bahan api diesel yang menimbulkan rasa syak wasangka sehingga ianya membawa kepada tahanan si perlakunya di tempat kejadian serta kenderaan dan barangan terbabit disita, katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Sebanyak enam (6) kenderaan telah pun disita dimana empat (4) buah jenis lori tanker dan dua (2) buah lagi jenis kereta. Manakala, enam (6) tangki minyak diesel berisi dengan anggaran jumlah keseluruhannya sebanyak 40, 300 liter turut juga disita.

Kesemua suspek yang disyaki itu telah pun ditahan untuk siasatan lanjut dimana antara sembilan (9) lelaki tersebut, lapan (8) daripadanya berstatus warganegara manakala seorang lagi berstatus warganegara Bangladesh.

Tambah beliau, berdasarkan siasatan dilakukan di lokasi serbuan tersebut, dianggarkan lebih 100 liter dengan nilai melebihi RM200,000.00 minyak diesel yang dirampas itu melibatkan kenderaan tangki minyak yang dijumpai.

Selain itu, antara peralatan lain yang turut dirampas untuk kes ini seperti pam penyedut bahan api serta telefon bimbit milik suspek yang ditahan.

Nilai keseluruhan rampasan untuk kes ini adalah sebanyak RM1.7 juta.

Hasil siasatan awal, mendapati premis dan suspek yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang Lesen / Permit / Permit Khas atau Surat Kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi urusan Barang Kawalan Berjadual.

Siasatan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan potensi kesalahan berikut:-
a) Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

b) Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan, apa-apa barang kawalan disimpan di mana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi Satu Juta Ringgit Malaysia (RM 1,000,000.00) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, beliau juga meminta orang ramai untuk terus tampil menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi ini di saluran rasmi berikut :

i. Whatsapp 019-279 4317/ 019-848 8000
ii. Portal e-aduan.kpdnhep
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP

Leave a Reply