Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia hari ini menyerahkan memorandum kepada Bank Negera Malaysia (BNM) untuk perhatian Tan Sri Nor Shamsiah binti Mohd Yunus selaku Gabenor BNM.
Naib Ketua Pemuda Nasional Parti Gerakan, Ir Ong Kean Sing berkata, memorandum ini diserahkan sebagai tuntutan penjelasan mengenai isu penipuan/kecurian wang simpanan melalui transaksi tidak sah yang berlaku di luar pengetahuan pemilik akaun.
Pemuda GERAKAN mewakili semua pimpinan Parti Gerakan mendesak Bank Negara bertindak tegas mengekang jenayah ‘scam’ kecurian wang simpanan pengguna.
“Langkah yang lebih komprehensif, melibatkan pelbagai pihak perlu dilaksanakan selain hebahan di sosial media yang dibuat oleh pihak BNM.
“Paling utama adalah memberi keyakinan kepada pengguna bahawa akaum simpanan mereka dijamin dan tidak ada elemen kompromi,” katanya ketika menyerahkan memorandum pagi tadi di BNM.
Turut serta Timbalan Speaker Pemuda Nasional GERAKAN Muruga Rajan Lingappan, Timbalan Ketua Penerangan Pemuda GERAKAN Lee Boon Shian dan Ahli Jawatankuasa Pemuda GERAKAN Cooper Khoo Kuan Yiaw.
Justeru, BNM perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa siasatan khas bagi mengenal pasti isu ‘scam’ ini dan hasil siasatan tersebut perlu dihebohkan kepada orang awam agar pengguna faham akan keparahan isu tersebut.
Dalam pada itu, Parti Gerakan juga memohon penjelasan adakah Transaction Authorisation Code (TAC) yang dimohon oleh pengguna semasa transaksi atas talian benar-benar selamat dan tidak boleh disalah guna oleh mana-mana pihak lain?
Jika TAC mempunyai kelemahan sila nyatakan dan apakah langkah yang telah diambil oleh BNM untuk memastikan keselamatan ini.
Perkara ini sangat membahayakan, tanggungjawab pihak BNM untuk memastikan keselamatan wang kami. Terutamanya golongan marhaen sudah pasti cukup terkesan sekiranya berlaku kes penipuan/kecurian pada mereka.
“Parti Gerakan sebagai parti yang berpaksikan kebajikan rakyat sentiasa bersama mereka menunggu penjelasan BNM, solusi dan komitmen setiap pihak yang bertanggungjawab.
“Saya harap YB Tan Sri Gabenor, mengambil perhatian dalam perkara ini.Kita perlu gerak bersama untuk membantu mangsa-mangsa kecurian wang simpanan ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama Parti Gerakan juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak BNM ketika proses penyerahan memorandum pagi tadi.