KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2022 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) membuka pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022) mulai hari ini dan akan ditutup pada 31 Ogos 2022. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin mengumumkan perkara tersebut dalam satu sidang media yang diadakan di Angkasapuri.

Bertemakan Kemuncak Kecemerlangan’ ASA 2022 yang seiring dengan sambutan Jubli Emas, bakal mempertandingkan sebanyak 72 kategori laitu 43 kategori TV, 22 kategori Radio dan masing-masing satu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Anugerah Seri Angkasa.

Buat julung kalinya juga, ASA 2022 memperkenalkan lima kategori Media Baharu iaitu

Drama Pendek Menerusi Youtube Rasmi Terbaik, Sketsa Pendek Menerusi Youtube Rasmi Terbaik, Video Klip Hiburan Menerusi Youtube Rasmi Terbaik, Pesanan Khidmat Masyarakat Menerusi Youtube Rasmi Terbaik dan Drama Bersiri Menerusi Youtube Rasmi Terbaik.

ASA yang mulai dianjurkan pada tahun 1972 merupakan pengiktirafan Kerajaan dalam memartabatkan penggiat seni dan para karyawan industri kreatif tanah air. Anugerah berprestij ini telah dianjurkan sebanyak 33 kali dan kembali dilaksanakan tahun ini dalam usaha Kerajaan merancakkan semula landskap industri kreatif yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada awal tahun 2020 susulan pandemik COVID-19.

Antara syarat utama penyertaan ialah rancangan yang pertama kali disiarkan di stesen penyiaran dan media sosial masing-masing antara Januari 2020 hingga 31 Disember 2021.

Justeru, semua stesen penyiaran Kerajaan dan swasta adalah dijemput untuk mengemukakan pencalonan secara dalam talian bagi 72 kategori melalui laman web

www.anugerahseriangkasa.gov.my.

Leave a Reply