editor@aatvnews.com
SHAH ALAM, 26 JANUARI 2024 – KPDN Selangor komited menjalankan rondaan secara harian di premis stesen-stesen minyak sekitar Selangor. Tujuan rondaan harian ini adalah untuk memantau pergerakan atau perlakuan mencurigakan melibatkan kenderaan yang berurus niaga secara tidak sah melibatkan bahan api jenis diesel bersubsidi di stesen minyak.
Keutamaan tindakan adalah ke atas kenderaan jenis lori yang membuat pembelian minyak diesel bersubsidi di stesen minyak khususnya pada waktu malam dan awal pagi.
Susulan daripada tindakan rondaan yang digerakkan, pada 24 Januari 2024 sekitar jam 2.00 pagi, pasukan rondaan KPDN Selangor telah berhasil mengesan dua (2) buah lori yang mencurigakan sedang membuat pengisian di sebuah stesen minyak terletak di lokasi Lebuhraya Persekutuan, Selangor.
Tindakan pantas pasukan rondaan menghampiri dua (2) buah lori berkenaan telah berjaya menghentikan aktiviti pengisian minyak diesel yang disyaki tidak sah serta dipercayai dibeli untuk tujuan penyelewengan.
Pasukan rondaan turut berjaya menahan 2 (dua) orang lelaki warganegara berumur sekitar bawah 45 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pemandu lori-lori tersebut serta terlibat dengan perlakuan membuat pengisian minyak di pump island stesen minyak tempat kejadian. Kedua-duanya telah ditahan untuk rakaman percakapan.
Pasukan rondaan turut membuat pemeriksaan ke atas fizikal kedua-dua buah lori yang ditahan dan mendapati motolori-motolori tersebut telah membuat pengubahsuaian di dalam badan lori yang diletakkan dengan Intermediate Bulk Container (IBC) yang berfungsi untuk menyimpan bahan api jenis petrol dan diesel. Jenis kedua-dua lori tersebut adalah lori kanvas dan lori kontena.
Pasukan rondaan dalam menjalankan tugas dan kuasa yang diberikan di bawah Subseksyen 10 (1) (b) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan tindakan sitaan telah dibuat terhadap barang kawalan dan dokumen relevan yang disyaki berkaitan kesalahan di bawah AKB 1961. Sitaan telah dibuat ke atas kedua-dua buah lori yang berisi masing-masing 10 unit dan 8 unit IBC dan peralatan yang digunakan untuk membuat pengisian serta pemindahan
bahan api seperti hos getah serta pam penyedut. Sitaan ke atas bahan api disyaki diesel bersubsidi yang ditemui di dalam IBC tersebut dianggarkan sejumlah 4,320 liter. Kesemua barangan sitaan disimpan di bawah kawalan pengurusan stor ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.
Anggaran nilai rampasan melibatkan bahan api yang disyaki diesel adalah RM9,288.00 dan anggaran nilai rampasan melibatkan lain-lain barangan disita adalah RM104,210.00 yang membawa anggaran nilai rampasan keseluruhan sejumlah RM113,498.00.
Potensi kesalahan dalam kes ini akan disiasat di bawah AKB 1961,iaitu Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 – berurusan barang kawalan berjadual tanpa lesen, dibaca bersama Seksyen 21, AKB 1961- memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan.
Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi Satu Juta Ringgit Malaysia (RM1,000,000.00) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta ini.
KPDN Selangor menegaskan pihaknya, akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi yang merupakan antara salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.
KPDN Selangor juga meminta rakyat untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan perlakuan perdagangan domestik di saluran rasmi berikut :
i. Whatsapp 019-2794317/ 019-8488000
ii. Portal e-aduan.kpdnhep
iii. Emel e-aduan@kpdn.gov.my
iv. Ez ADU KPDNHEP
v. Bilik Gerakan KPDN Selangor (setiap hari 8.00 pagi-6.00 petang)
03 5514 4393