PETALING JAYA – Belum selesai masalah kesesakan jalan raya sejak 24 tahun lalu, timbul pula isu baharu apabila dikhabarkan kawasan sesak di sekitar PJU 10/1 Damansara Damai bakal didirikan sebuah tokong tiga tingkat.

Ketua Urusetia Badan Bertindak Damansara Damai, Ridwan Rahmat berkata, pihaknya kecewa kerana ahli majlis yang dilantik di kawasan berkenaan seperti lepas tangan.

“Kita dijemput menghadiri taklimat mengenai pembinaan tokong berkenaan hari ini. Jika diikutkan penduduk tiada masalah dengan pembinaan tokong itu.

“Namun kami berharap fokus utama lebih diberikan kepada mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang sudah berlarutan sejak tahun 2000 lagi.

“Perkara ini sudah banyak kali kami utarakan kepada ahli majlis iaitu G Suriase dan beliau sudah tahu masalah utama yang berlaku di kawasan berkenaan tetapi tiada tindakan susulan diambil.

“Justeru kami berharap, pertemuan hari ini ada jalan penyelesaian namun ia seperti tergantung begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas taklimat berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Khas Komunikasi kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Jan Fazal Eladi berkata, pihaknya mendengar keluhan dan rintihan penduduk Damansara Damai dan berharap Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari turun padang dan sama-sama mendengar denyutan hati rakyat.

“Amanah yang diberikan penduduk kepada Ahli Majlis seperti tidak dipedulikan sebaliknya usaha mahu membangunkan tokong bakal diteruskan.

“Ini membimbangkan penduduk kerana akan menyebabkan kesesakan lebih berganda teruk. Walaupun pembinaan tokong ini masih dalam perancangan, tetapi keadaan di sana sangat sesak sehingg kerap berlaku kemalangan jalan raya.

“Kami berharap MB cakna akan masalah ini, tidak sesuai membina tokong dalam kawasan yang padat dan sesak seperti itu.

“Saya melihat taklimat yang diadakan ini juga seperti tiada jalan penyelesaian malah suara penduduk yang didengar hanya 50 peratus sahaja.

“Sedangkan Ahli Majlis tahu apa masalah utama yang berlaku di kawasan berkenaan dan ia berlarutan sudah terlalu lama,” katanya lagi.

Terdahulu, masalah kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan sudah berlaku sejak tahun 2000 dan kerap kali masalah itu diajukan kepada Ahli Majlis namun tiada sebarang tindakan diambil.

Malah sehingga ke hari ini penduduk masih berharap ada pihak yang cakna dalam membantu menyelesaikan masalah ini.

By Cynthia

Leave a Reply