KUALA LUMPUR – Dalam menyemarakkan kemeriahan di ibu kota, Rangkaian Komuniti Bukit Bintang (NBBC), menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Pelancongan BBKLCC menerusi penganjuran Kuala Lumpur Prosperity Walk yang akan berlangsung pada Sabtu ini, 24 Februari.
Acara kali ketiga diadakan itu bersempena dengan sambutan Chap Goh Mei 2024.
Sejak penganjuran julung kalinya pada tahun 2022, Kuala Lumpur Prosperity Walk telah menjadi acara tahunan yang memberi makna kepada identiti kawasan Bukit Bintang dengan semangat FAME – iaitu akronim untuk Festival [F], Seni & Budaya [A], Muzik & Tarian [M], Elektronik & lain-lain [E], yang menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial-ekonomi setempat.
Sambutan pada tahun ini lebih bermakna dengan sokongan berterusan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyenaraikan Kuala Lumpur Prosperity Walk sebagai sebahagian daripada aktiviti rasmi sambutan Tahun Baharu Cina.
Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur Lai Chen Heng berkata, acara ini akan mengambil masa lebih kurang sejam perjalanan berjalan kaki yang menggunakan laluan sepanjang 4.3 kilometer.
“Pada acara itu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh akan merasmikan upacara pelepasan (flag-off) di Dataran Merdeka pada jam 5.15 petang.
“Laluan utama merangkumi pelbagai mercu tanda ikonik Bukit Bintang dan ini termasuk Pasar Seni, River of Life (RoL), pusat membeli-belah komuniti GMBB, Hotel Federal, Lot 10, Plaza Low Yat, Sungei Wang, Berjaya Times Square, dan berakhir di Lalaport.
“Di sepanjang perjalanan, peserta juga akan melalui kawasan ikonik lain, termasuklah Jalan Petaling dan Jalan Alor,” katanya pada sidang media pelancaran program berkenaan, baru-baru ini.
Chen Heng berkata, acara itu juga akan diserikan dengan persembahan tarian naga dan singa untuk hiburan pengunjung pada majlis pelepasan.
“Pakaian kostum berwarna-warni dan persembahan muzik akan mengiringi peserta di sepanjang laluan, yang mempamerkan keunikan intipati dinamik bandaraya.
“Laluan kedua juga disediakan di mana laluan ini lebih pendek berbanding laluan utama. Dengan hanya sejauh 1.4 kilometer, laluan ini akan mengambil masa kira-kira 30 minit berjalan kaki.
“Bermula di kawasan air pancut Pavilion KL, ia akan membawa peserta melalui pelbagai mercu tanda seperti Starhill, Fahrenheit 88 dan Lot 10, dan laluan kedua ini akan bergabung dengan laluan utama di Menara Hai O di Jalan Bukit Bintang.
“Peserta akan menamatkan perjalanan di Lalaport dan bakal disambut oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur NBBC Jack Lim berkata, pihaknya mezahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pihak berkuasa tempatan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
“NBBC amat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan dan semua yang terbabit.
“KL Prosperity Walk adalah cerminan kepada keharmonian jalinan tradisi dan kemodenan yang mentakrifkan Bukit Bintang.
“Acara pada tahun ini menyasarkan kepada pembangunan ekonomi, merangsang pemerkasaan komuniti, dan meningkatkan kelestarian alam sekitar.
“Terdapat begitu banyak perkara untuk diterokai di sini, dan kami menjemput semua orang untuk menyertai kami bagi bersama meraikan betapa dinamiknya budaya komuniti setempat,” katanya.