KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) Wilayah Persekutuan meminta kerajaan mempertahankan tanah rizab Melayu agar tidak jatuh ke tangan warga asing atau golongan yang tidak sepatutnya.
Pengerusi Alumni 4B Wilayah Persekutuan, Datuk Bahtiar Adnan berkata, pihaknya mahu isu tanah rizab Melayu dititikberatkan dan resolusi itu dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk diambil perhatian serta tindakan.
Malah menurutnya, penubuhan ‘task force’ perlu diwujudkan agar kerajaan sentiasa dapat memantau dan menguruskan perkara tersebut dengan lebih sempurna serta berkesan.
“Saya tiada data tepat mengenainya tapi difahamkan memang dah ada (tanah) yang dipindah milik dan diberikan kepada pemaju-pemaju tertentu.
“Kita risau pasal perkara ini, jadi kita nak dalam Kongres Ekonomi Bumiputera, ia ditekankan lagi terutamanya di kawasan Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar.
“Sebab kita tahu pegangan ekuiti bumiputera di bandar tak banyak, satu lagi pasal kuota 30 peratus dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), dulu kita tak boleh capai. Kalau kurangkan lagi, kita tak mampu tekankan, biar sasar tinggi asalkan sampai tahap memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Agung Tahunan Alumni 4B Wilayah Persekutuan kali ke-12 yang bertempat di Kompleks Tun Abdul Ghaffar Baba, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada timbalan perdana menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamal Nerubi; Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Hussaini; Saf kepimpinan kanan Alumni 4B peringkat pusat dan Wilayah Persekutuan serta barisan ahli jawatankuasa.
Sementara itu, Jamal memaklumkan, pihaknya terbuka menerima sebarang keluhan diutarakan pihak Alumni 4B dan cuba untuk menetapkan tarikh temu janji dengan Timbalan Perdana Menteri sendiri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kira-kira dalam bulan Mac perkara ini boleh diselesaikan, Insya-ALLAH,” ujarnya yang merupakan perasmi bagi persidangan berkenaan.
Ditanya mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan berlangsung tidak lama lagi, Syed Azmi Ahmad berkata, ia bagus untuk dilaksanakan, namun pihaknya meminta agar kerajaan mengambil tindakan supaya perbincangan tidak terhenti setakat itu sahaja.
“Banyak kali dah kongres kita buat, tapi bila datang, tiada tindakan susulan atau penyudahnya.
“Justeru, minta ada tindakan dan jawapan yang kukuh kerana kita menunggu keputusan dapatan kongres ini.
“Kalau tidak kita hanya cakap sana cakap sini tapi hujung-hujung, keputusannya kosong atau tiada yang bagus,” ulasnya lagi. – SINAR HARIAN –