KUALA LUMPUR – Program pencarian bakat Feel Da Starz (FDS) yang julung kali diadakan adalah program realiti yang mempertandingkan bakat-bakat nyanyian untuk komuniti Felda.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada komuniti Felda yang berusia dari 18 hingga 30 tahun dan bakat mereka akan dikembangkan hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Setiap peserta yang menyertai  pertandingan ini akan melalui proses penyingkiran di beberapa siri jelajah Felda sebelum mereka mara ke peringkat akhir yang akan di adakan pada Hari Peneroka Felda 2024 (HPF24) 12 hingga 14 Julai di MAEPS, Serdang.  

Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menyediakan platform dan mengilap bakat yang sedia ada disamping dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga peserta di Felda.

“Program ini akan berlangsung selama 5 bulan bermula dari bulan Mac ini. Ujibakat secara online akan mula dibuka di  https://segalanyafelda.com/feel-da-starz/ bermula 1 Mac dan akan ditutup pada 30 Mac.

“Seramai 40 peserta akan di pilih dari penyertaan secara online di mana mereka yang tidak dapat hadir ke lokasi boleh menghantar video berdurasi 1 minit.

“Mereka akan menjalani sesi pembelajaran vokal dan persembahan di ISEF, Bangi (Institut Semarak Felda) dengan tenaga pengajar profesional.

“Penyertaan terbuka kepada semua yang berumur 18 hingga 30 tahun dan buat permulaan ini hanya penyertaan solo yang dibenarkan.

“Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman web www.segalanyafelda.com,” katanya pada sidang media pelancaran program berkenaan, hari ini.

Hadiah Utama Pemenang FDS bakal menerima wang tunai RM10,000, tempat kedua RM7,000 dan tempat ketiga RM5,000.

Juara juga berpeluang untuk merakamkan sebuah album single beserta trofi.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif program FDS ini adalah Fadzliniza Zakaria yang berpengalaman dalam penerbitan program-program realiti di TV3 dan Astro. 

Dengan majlis pelancaran ini, ia menandakan evolusi Felda, sebagai jenama gaya hidup untuk orang ramai.

Pada majlis sama, Felda turut melancarkan laman web www.segalanyafelda.com. Tujuan laman web itu diwujudkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti yang bakal berlangsung menjelang Hari Peneroka Felda 2024 pada Julai nanti.

Maklumat berkaitan pertandingan Feel Da Starz dan aktiviti lain juga turut dimuatkan untuk memudahkan akses orang ramai bagi mendapatkan maklumat.

By Cynthia

Leave a Reply