editor@aatvnews.com

BANGI, 5 Mac 2024 – Hasrat dan pelaksanaan kerajaan berfokuskan kepada transformasi landskap profesional TVET Malaysia adalah signifikan untuk merancakkan pembangunan teknokrat bagi memacu ekonomi negara yang mapan.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET adalah elemen yang penting bagi pewujudan teknokrat dan kerja-kerja teknikal yang akan dilaksanakan melalui pelbagai institusi kelak.

Sejajar dengan pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, beberapa peruntukan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 akan dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah sebagai pendukung gerak kerja mencapai misi kerajaan.

Kerajaan dengan kerjasama Syarikat GLIC, GLC serta badan-badan swasta terpilih memberi komitmen untuk melatih seramai 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan gaji setimpal sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

Tujuh syarikat yang terlibat termasuklah Petronas (industri minyak dan gas), Sime Darby (perladangan), MRCB (pembinaan), TNB (tenaga boleh baharu) dan Telekom Malaysia (digital).

“Hanya melalui bekalan latihan yang cukup serta pekerjaan dengan gaji bermakna yang dapat mengubah nasib hidup golongan Bumiputera di Malaysia termasuklah mereka yang berada di desa daripada kalangan keluarga peneroka FELDA dan anak-anak nelayan.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Majlis Penasihat Industri (Industry Advisory Council IAC 2024) yang diadakan buat julung kalinya di Dewan Feisol Hassan, Kampus GMI, Bangi.

Tambah beliau, Pendidikan TVET di Malaysia telah dinaik taraf dengan mewujudkan kolaborasi di antara institusi tempatan dengan lebih 200 pemainn industri terdiri daripada syarikat dan konglomerat terkemuka bagi menjayakan pemerkasaan TVET di Malaysia.

Menurut beliau lagi, kebolehpasaran lulusan TVET akan dapat ditingkatkan daripada kadar 98.5 peratus kepada sekurang-kurangnya 99.5 peratus.

Sementara itu, Persidangan IAC 2024 berjaya menghimpunkan individu dan pihak industri berkepentingan dalam sektor TVET untuk menjelajahi tema “Lanskap Malaysia: Menuju TVET Profesional.”

Persidangan IAC ini menyediakan platform untuk menjalinkan kerjasama strategik, perkongsian pengetahuan, dan perbincangan untuk membentuk masa depan TVET dan landskap industri di Malaysia.

Majlis turut menyaksikan acara pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara German Malaysian Institute. Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan GIATMARA dengan rakan industri sebagai tanda komitmen mereka kepada usaha-usaha kolaboratif dalam memajukan sektor TVET.

Majlis diteruskan dengan acara penyampaian surat lantikan rasmi kepada ahli-ahli Majlis Penasihat Industri (IAC) oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri melibatkan seramai 12 orang pegawai tertinggi daripada syarikat industri seperti Aerodyne Group, Automev Global Sdn. Bhd, B.Braun Malaysia, Bermaz Auto Berhad, Bosch Rexroth Sdn. Bhd, Ciba Vision (Alcon), DotCom Telecommunications Sdn. Bhd, Ericsson Malaysia, Lucas Nülle, Robert Bosch Sdn. Bhd, Sapura Energy Berhad dan Siemens Malaysia.

Leave a Reply