SEPANG, 15 MEI 2024 – Lebih kurang jam 10.00 pagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melalui Pejabat KPDN Sepang telah menerima satu kes serahan daripada Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas PDRM Bukit Aman. Hasil penerimaan kes serahan ini adalah sumber daripada maklumat orang awam. Penerimaan kes ini dilanjutkan tindakan siasatan oleh KPDN Selangor di bawah OPS TIRIS 5.0.
Penerimaan kes serahan ini disusuli oleh anggota Penguat Kuasa KPDN Selangor dengan kekuatan tujuh (7) orang anggota dan bertindak menjalankan pemeriksaan awal ke atas kes serahan yang diterima.
Fakta kes serahan ini adalah pihak PDRM telah melakukan serbuan pada 14 Mei 2024, jam 10.00 malam di sebuah kawasan lapang terletak di sekitar Pulau Meranti, Puchong. Kawasan lapang tersebut dipercayai dijadikan tempat pemindahan minyak diesel dari kenderaan motor lori kecil atau jenis bonded yang diubah suai dengan IBC tank yang berisi bahan api untuk dipindahkan ke dalam badan motor lori jenis kontena.
Semasa serbuan di lokasi tersebut, pasukan telah menemui aktiviti memindah bahan api disyaki diesel daripada motor lori jenis bonded ke motor lori tangki (tanker) dan seterusnya dipindahkan lagi ke lori kontena.
Aktiviti pemindahan tersebut ditemui dilakukan oleh sekumpulan lelaki seramai empat (4) orang dan keempat-empatnya telah berjaya ditahan dan pasukan serbuan PDRM berjaya menghentikan pergerakan
serta aktiviti pemindahan semasa serbuan.
Susulan itu, kes serahan ini diterima KPDN Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan penahanan telah dibuat ke atas empat (4) individu lelaki warga tempatan, berumur
lingkungan umur 43 – 45 tahun dan berdasarkan siasatan awal dipercayai
berperanan sebagai pemandu lori dan pembantu (kelindan lori).
Kesemua individu yang ditahan gagal mengemukakan lesen/permit/kebenaran menyimpan dan membawa minyak diesel dan setersunya membawa kepada tindakan menahan bagi keperluan siasatan
dan rakaman percakapan. Pada masa yang sama, tindakan reman dengan perintah Mahkamah selama 3 (hari) telah diperoleh ke atas tahanan.
Tindakan sitaan kes serahan ini melibatkan:
a) Sebuah motor lori tanker yang berisi bahan api disyaki diesel dengan anggaran 27,000 liter
b) Sebuah motor lori bonded yang membawa dua (2) IBC tank berisi bahan api disyaki diesel dengan anggaran 1,400 liter
c) Sebuah motor lori kontena yang berisi bahan api disyaki diesel dengan anggaran 70,000 liter dan ;
d) Peralatan lain seperti motor pump dan hos penyambung yang disyaki digunakan di dalam aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api secara tidak sah.
Anggaran keseluruhan bahan api disyaki diesel di dalam kes serahan ini adalah sebanyak 98,400 liter dengan anggaran nilai rampasan sejumlah RM211,560.00.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan di dalam kes serahan ini mencecah RM400,000.00.
MODUS Operandi baharu ditemui pertama kali di dalam kes seleweng diesel iaitu menggunakan FLEXI BAG (sejenis storage bag yang diperbuat daripada material yang sifatnya boleh mengembang dan mengecut mengikut bentuk penyimpanan). FLEXI BAG TERSEBUT DITEMUI DILETAKKAN DI DALAM LORI KONTENA.
Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan akan memfokuskan untuk mengenal pasti individu/ syarikat serta rantaian pengedaran bekalan minyak diesel subsidi termasuk sumber bekalan minyak diesel subsidi ini diperoleh dan diedarkan.
Hasil siasatan awal oleh KPDN Selangor mendapati potensi kesalahan adalah di bawah peruntukkan Seksyen 21 AKB 1961 iaitu memiliki barang kawalan (diesel) dengan niat melakukan kesalahan dan dibaca bersama Per 3(1) PPKB 1974 iaitu menjalankan urusniaga barang kawalan (diesel) tanpa kebenaran pengawal/tanpa lesen yang sah.
KPDN Selangor ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui
saluran berikut:
i. Whatsapp 019-848 8000
ii. Aplikasi Ez Adu KPDN
iii. Talian hotline KPDN 1-800-886-800
iv. Portal e-aduan.kpdn