PUTRAJAYA – Sedar media sosial TikTok kini menjadi pilihan utama masyarakat dalam menyampaikan pelbagai perkara termasuklah menjadi ruang untuk berniaga, VIBES International Agency menyeru mereka terutamanya selebriti yang mahu bergiat lebih aktif menyertai mereka.
Pengasas VIBES International Agency Datuk Seri Eizlan Yusof berkata, agensi ini berperanan membantu mereka untuk lebih memahami etika serta peraturan dalam menggunakan medium TikTok dengan lebih baik supaya tidak mengalami masalah akaun dipadam atau ‘diblock’.
“Walaupun baru setahun ditubuhkan, kami berjaya berkongsi kepakaran dan pengalaman membangunkan kandungan bersama beberapa pencipta kandungan TikTok tempatan dan antarabangsa.
“Dengan sokongan daripada kerajaan, di bawah kami terdapat 21 agensi yang akan membantu melatih mereka menggunakan platform ini dengan lebih baik dan positif.
“Tiada sebarang bayaran dikenakan mereka hanya perlu mendaftar sebagai ahli dan segala info maklumat dan bimbingan akan diberikan mengikut garis panduan yang diberikan,” katanya pada majlis Appreciation Night Award Live Creator Tik Tok 2024 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Zed Zaidi serta beberapa rakan strategik yang lain yang terbabit.
Sementara itu, Zed Zaidi berkata, pihaknya menyokong usaha berkenaan kerana sedar ramai pempengaruh atau pendatang baharu yang menyertai industri seni tidak tahu etika serta sistem dalam dunia hiburan.
“Dapat kita lihat ramai pendatang baharu ‘main langgar’ sahaja tanpa tahu cara betul untuk berkomunikasi terutamanya bagi pelakon.
“Jika penyanyi mereka boleh berinteraksi apabila sedang membuat persembahan pentas, tetapi pelakon tidak boleh kerana penonton hanya menyaksikan lakonan mereka semata.
“Menerusi bantuan daripada agensi ini, mereka boleh gunakan TikTok dengan lebih baik dengan syarat perlu memberi komitmen dan disiplin yang kami tetapkan.
“Menerusi medium ini peminat boleh melihat mereka dengan lebih dekat dan berkongsi ilmu atau perniagaan yang mereka lakukan.
“Dapat kita lihat beberapa pelakon senior seperti AR Badul, Helmi The Gimmick, Norlia Ghani, Azlee Jaafar berjaya menarik ramai pengikut sehingga menjana pendapatan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, seramai 64 pencipta kandungan TikTok diumumkan sebagai penerima anugerah daripada 10 kategori yang dipertandingkan.
Setiap penerima anugerah menerima pelbagai hadiah menarik antaranya dari Annisa Batik, Koperasi Al Nakah, Glamboot malah tajaan penginapan 4 hari 3 malam ke Krabi, Thailand oleh EDS Travel.
Eizlan juga turut mengumumkan bakal bekerjasama dengan agensi umrah, Khadim Ummah melalui beberapa pakej umrah pada masa akan datang.