KUALA LUMPUR, 7 Mei 2024 Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi han ini menyampaikan penghargaan dan meraikan 400 petugas barisan hadapan yang bertugas semasa Monsun Timur Laut 2023/2024 yang berakhir pada bulan Mac 2024 yang lalu.
Program anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ini merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada sumbangan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pihak kerajaan Negeri, agensi tindak balas, agensi teknikal, syarikat telekomunikasi, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media semasa MTL 2023/2024. Penghargaan ini diberi berdasarkan komitmen dan usaha yang telah ditunjukkan oleh agensi-agensi terhadap tugas dan bidang masing-masing dalam kesiapsiagaan dan pengendalian sistem pengurusan bencana di Malaysia.
Majlis ini turut melibatkan agensi tindak balas yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Disamping itu, agensi- agensi lain yang turut diraikan termasuklah Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) yang mengelola Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA), Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Penerangan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan-badan NGO di bawah platform Rakan NADMA, syarikat-syarikat telekomunikasi termasuk agensi-agensi media.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus sewaktu MTL 2023/2024, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi mengumumkan bahawa Kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang dikelolakan oleh NADMA telah bersetuju menyediakan peruntukan awal berjumlah RM 5 juta yang boleh digunakan oleh agensi-agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pengurusan bencana bagi melaksanakan program dan latihan berkaitan kesiapsiagaan dan kesedaran komuniti menghadapi bencana termasuk program Community Based Dissaster Risk Management (CBDRM). Pihak NADMA akan memperincikan dan memaklumkan syarat-syarat dan kaedah permohonan peruntukan ini dalam masa yang terdekat.
Selain itu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi turut memaklumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju Dasar Pengurusan Bencana Negara disemak semula bagi meningkatkan daya tahan, memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan dalam menguruskan bencana dengan lebih baik, sekaligus memastikan ancaman bencana berada pada tahap minimum. Beliau turut memaklumkan NADMA sedang di peringkat akhir proses semakan semula Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, agar selari dengan keperluan dan evolusi pengurusan bencana yang semakin kompleks. Pada masa yang sama, dasar khusus dalam mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana sedang digubal melalui Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara atau Dasar DRR. Dasar DRR ini yang di peringkat akhir penggubalan akan menjadi dokumen utama yang menggariskan hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya tahan bencana, merangkumi semua sektor termasuk ekonomi, alam sekitar, sosial, keselamatan dan lain-lain.
Dalam majlis yang sama beliau juga turut mengumumkan Jemaah Menteri melalui mesyuarat pada 22 Mac 2024 telah bersetuju secara prinsipnya supaya SMART NADMA diberikan pengiktirafan sebagai Pasukan Khas Urban Search and Rescue (USAR) dan satu skim perhidmatan khusus diwujudkan bagi menyelaras semula pemberian elaun dan kemudahan yang akan diterima oleh anggota SMART NADMA. lanya merupakan satu langkah Kerajaan dalam menjaga kebajikan pasukan mencari dan menyelamat khas negara yang telah bertungkus lumus berbakti menyelamatkan nyawa mangsa bencana dan mengharumkan nama negara.
Musim Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 bermula pada 11 November 2023 dan tamat pada 28 Mac 2024 yang lalu telah merekodkan sebanyak tujuh (7) episod hujan lebat yang telah berlaku dan jumlah hari terkumpul bagi episod hujan lebat tersebut adalah sebanyak 18 hari. Hujan lebat secara berterusan menyebabkan bencana banjir berlaku di beberapa kawasan. Seramai 27,505 keluarga dan 92,534 mangsa telah ditempatkan di 751 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sepanjang tempoh MTL 2023/2024. Tiga negeri yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi adalah Kelantan, iaitu 44,157 (48%), diikuti negeri Terengganu, 28,591 mangsa (31%) dan negeri Johor, 11,321 mangsa (12%). Secara perbandingan, jumlah mangsa MTL 2023/2024 adalah lebih rendah berbanding MTL 2022/2023 dengan penurunan sebanyak 63% mangsa. Jumlah mangsa MTL 2022/2023 adalah 251,799. Jumlah kematian juga menurun kepada empat (4) orang untuk MTL 2023/2024 berbanding dua belas (12) orang untuk MTL 2022/2023.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril bin Idrus; pegawai kanan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN); ketua-ketua agensi teknikal serta agensi tindak balas; serta, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat telekomunikasi dan agensi media.