KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yakin gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata ini berikutan melihat ‘gelombang hijau’ di Pulau Pinang semakin pudar dan tidak nampak akan berterusan pada PRK itu nanti.
“Umno akan hantar jentera parti di sana untuk pastikan kemenangan dan merampas kembali kerusi itu daripada pembangkang.
“Kita hadir sebagai calon ‘underdog’ dan akan memastikan sokongan Melayu kembali kepada PH-BN,” katanya kepada AATV News.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Dalam pada itu, Gulam berkata rakyat masa ini terutama penyokong BN sudah mula semakin memahami sebab untuk bergabung dengan PH dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata momentum sokongan kepada BN juga semakin baik berdasarkan kemenangan di PRK Kuala Kubu Baharu.
“Selepas penjelasan kepada akar umbi, perasaan gundah gulana dan keliru sebelum ini semakin berkurang.
“Kali ini momentum sokongan pengundi Melayu sangat baik dalam 40 hingga 45% kembali pada Umno,” katanya