KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran hari ini menyerahkan bantuan khas kepada empat buah keluarga.

Sumbangan itu bagi meringankan beban yang ditanggung empat keluarga tersebut.

Di dalam ucapan, Prabakaran memuji YWP yang ditubuhkan sejak 1986 yang telah banyak membantu warga memerlukan dengan pelbagai jenis bantuan kepada golongan berkenaan.

“Program melalui Yayasan Wilayah membantu empat buah keluarga yang memerlukan. Ini bukanlah kali pertama program sebegini diadakan dan telah banyak bantuan diberi.

“Saya percaya program-program bantuan yang digerakkan yayasan sebegini sudah tentu mampu memberi manfaat kepada keluarga yang memerlukan,” katanya di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu.

Prabakaran turut menggalakkan lebih banyak bantuan daripada yayasan tersebut kepada golongan memerlukan terutama B40 bagi membela nasib mereka agar keluar daripada kesempitan hidup.

“Saya yakin program sebegini mampu membela nasib mereka yang kurang bernasib baik dan program sebegini sememangnya amat digalakkan.

“Oleh itu, saya harap bantuan seperti ini boleh digerakkan lagi kepada keluarga B40 di Kuala Lumpur khusus di Parlimen Batu,” katanya.

YWP ditubuhkan untuk membantu menaiktaraf hidup golongan yang berpendapatan rendah tertumpu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Yayasan berkenaan berperanan dalam lima gerak kerja perkhidmatan iaitu pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

Leave a Reply