SEPANG – Universiti tempatan tidak boleh taasub dan terlalu sibuk memenuhi kriteria ditetapkan badan penarafan dunia sehingga mengetepikan fungsi utama universiti iaitu melahirkan pelajar yang cemerlang selaras dengan keperluan masyarakat, industri dan negara.  

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya tidak menolak kewajaran bersaing dalam penarafan universiti atau ranking di peringkat global kerana perkara itu memberi persepsi umum mengenai kualiti pendidikan tinggi sesebuah institusi dan negara.

Katanya, apa yang lebih penting untuk pembangunan masyarakat dan negara ialah kualiti graduan yang dihasilkan universiti, sama ada memenuhi lonjakan pertama yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 iaitu graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang atau sebaliknya.

“Tidak guna sekiranya kedudukan universiti Malaysia baik dalam penarafan dunia, namun ketidakpadanan graduan dan pekerjaan berterusan dengan kekurangan kemahiran insaniah kerana keadaan ini tidak mencerminkan situasi sebenar mengenai kualiti graduan.

“Apabila ketidakpadanan ini berlaku, pastinya ada sesuatu yang kurang tepat dalam sistem penilaian penarafan universiti dunia yang digunakan.

“Kita mahukan pelajar dan graduan dihasilkan universiti tempatan cemerlang dengan jiwa seperti yang diungkapkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, keutamaan dalam usaha menetapkan penarafan atau rating sesebuah universiti ialah memberikan perhatian serius kepada kualiti pelajar serta graduan yang menjadi pemegang taruh terbesar atau teras utamanya.

Beliau berkata, selain memberi penekanan terhadap kriteria penarafan universiti seperti penulisan ilmiah dan penyelidikan, universiti perlu memberi fokus kepada kualiti pelajarnya terutama dalam konteks meningkatkan nilai, norma, sikap dan kemahiran insaniah.

Katanya, usaha ini tidak mudah dan memerlukan komitmen di setiap peringkat sesebuah universiti daripada pengurusan tertinggi hingga ke tenaga pengajar, staf sokongan serta alumni.

“Sekiranya kita dapat menyeimbangkan antara kecemerlangan dalam kriteria dinilai penarafan universiti dunia itu dengan kualiti pelajar, pastinya akan menjadi kejayaan besar yang seterusnya secara langsung memberi impak kepada penarafan universiti.

“Dengan itu, saya yakin masyarakat dunia akan berpusu-pusu datang ke Malaysia untuk menyambung pengajian di universiti kita yang bukan sahaja mempunyai ranking baik, malah sebagai institusi yang melahirkan graduan holistik dambaan majikan serta industri di dalam dan luar negara, seterusnya menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan tinggi global.

“Di peringkat MQA, kita sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada IPT untuk berusaha ke arah ini, selain sering mengingatkan mereka kualiti itu bukan sekadar berbentuk penyelidikan dan penghasilan jurnal berimpak sahaja, tetapi graduan yang dikeluarkan,” katanya.  

By Cynthia

Leave a Reply