Cyberjaya, 28 Januari 2026 – Nilufer Education melakar satu lagi pencapaian signifikan dalam usaha memperluaskan akses pendidikan antarabangsa kepada pelajar Malaysia menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Study in Türkiye, City University Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM).

Majlis pemeteraian yang berlangsung secara eksklusif di Dewan Serbaguna, Kampus City University Cyberjaya itu menghimpunkan barisan pemimpin akademik serta pakar industri pendidikan dengan satu matlamat bersama – membuka lebih banyak laluan pendidikan antarabangsa yang mampu milik, mudah diakses dan diiktiraf di peringkat global.

Kerjasama strategik ini berperanan sebagai jambatan antara institusi pendidikan menengah dan pengajian tinggi di Malaysia dengan universiti terkemuka di Türkiye, sekali gus menawarkan peluang kepada pelajar Malaysia untuk memperoleh kelayakan antarabangsa tanpa kos yang membebankan. Inisiatif ini turut memperkukuh mobiliti akademik, pertukaran budaya serta pendedahan global dalam kalangan pelajar.

Menurut Ms Hidayati Md Nor, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nilufer Education, kerjasama tersebut lahir daripada peningkatan permintaan ibu bapa dan pelajar terhadap pendidikan antarabangsa berkualiti yang lebih realistik dari sudut kewangan.

“Kerjasama ini diwujudkan bagi memastikan peluang pendidikan antarabangsa bukan lagi eksklusif kepada golongan tertentu sahaja. Melalui jaringan strategik ini, kami membuka lebih banyak laluan kepada kelayakan bertaraf global yang kekal mampu milik dan inklusif untuk pelajar Malaysia,” katanya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan ucapan rasmi daripada wakil Study in Türkiye, City University Malaysia dan MPSM yang sebulat suara menekankan kepentingan kerjasama akademik rentas sempadan dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran dan persaingan global.

Melalui pemeteraian MoU ini, semua pihak bersetuju untuk bekerjasama secara menyeluruh dalam pembangunan laluan pengambilan pelajar, khidmat nasihat akademik, perkongsian maklumat serta pelaksanaan inisiatif bersama bagi meningkatkan kesedaran tentang peluang pendidikan antarabangsa dalam kalangan pelajar sekolah dan lepasan pra-universiti.

Majlis diakhiri dengan sesi menandatangani MoU, sesi fotografi rasmi, lawatan kampus City University Malaysia serta jamuan makan tengah hari yang turut menjadi platform jaringan strategik antara tetamu jemputan.

Kerjasama ini sekali gus mencerminkan komitmen berpandangan jauh semua pihak dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kerjasama pendidikan global.

#NiluferEducation #PendidikanAntarabangsa #StudyInTürkiye #PeluangGlobal #MoUStrategik #BelajarLuarNegara #PendidikanMampuMilik #AATVNews #FutureReadyStudents #MalaysiaToGlobal

Leave a Reply