SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memulakan langkah strategik baharu menerusi pelaksanaan agenda MQA 3.0, yang meletakkan agensi itu sebagai peneraju reformasi kualiti pendidikan tinggi negara dengan pendekatan kepimpinan berteraskan nilai, kecekapan tadbir urus dan impak sistemik jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata pelaksanaan MQA 3.0 mencerminkan perubahan paradigma dalam fungsi agensi terbabit, daripada sekadar memastikan pematuhan standard kepada peranan strategik dalam membentuk hala tuju, budaya dan keberkesanan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi Malaysia.

“Perjalanan transformasi MQA telah melalui beberapa fasa penting bermula dengan penubuhan Lembaga Akreditasi Negara pada tahun 1997, diikuti pengenalan MQA 2.0 pada tahun 2007 yang memfokuskan penyelarasan sistem dan pembinaan keyakinan pihak berkepentingan, sebelum kini memasuki era MQA 3.0 yang mengutamakan kepimpinan kualiti, nilai dan kemampanan,” katanya.

Ucapan itu disampaikan dalam Amanat Ketua Pegawai Eksekutif 2026 yang berlangsung di Mercu MQA, dengan kehadiran anggota Majlis MQA serta barisan pengurusan tertinggi agensi, termasuk Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Halinordina Mat Saat.

Menurut Mohammad Shatar, pendekatan jaminan kualiti yang terlalu berfokus kepada pematuhan prosedur tidak lagi mencukupi untuk menghadapi realiti pendidikan tinggi masa kini yang semakin rencam, pantas berubah dan dipengaruhi faktor global.

Sehubungan itu, MQA 3.0 menuntut perubahan budaya kerja ke arah amalan yang lebih bermakna, berintegriti dan berorientasikan hasil yang memberi manfaat sebenar kepada pelajar, institusi dan masyarakat.

“Pelaksanaan MQA 3.0 adalah selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang menggariskan keperluan kepada tadbir urus lebih tangkas, penekanan terhadap kemenjadian pelajar serta peranan akademia sebagai ejen pembinaan bangsa.

“Dalam konteks ini, MQA berfungsi sebagai pemudah cara strategik yang memastikan kualiti bukan sahaja dipatuhi, malah dipimpin dan diperkasakan,” katanya.

Antara inisiatif penting yang diketengahkan ialah pengenalan Academic Bank Credits sebagai sistem depositori digital berpusat yang membolehkan pelajar mengurus kredit pembelajaran secara fleksibel merentasi institusi, mod pembelajaran dan tempoh pengajian.

Menurutnya, inisiatif ini memberi pemilikan penuh kepada pelajar terhadap pencapaian akademik mereka dan menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat serta mobiliti pendidikan yang lebih inklusif dan progresif.

Dalam aspek tadbir urus, Mohammad Shatar turut menekankan keperluan reformasi pengurusan institusi selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi, sambil menegaskan bahawa pendekatan pentadbiran era lama tidak lagi sesuai untuk institusi pendidikan abad ke-21.

Beliau menyifatkan kecekapan sebagai satu bentuk integriti perkhidmatan awam dan menegaskan kepentingan menerapkan prinsip kelajuan, kecemerlangan dan kualiti dalam setiap urusan organisasi.

Beliau turut menyeru pengukuhan budaya kerjasama dan kolaborasi merentas fungsi serta pihak berkepentingan bagi menangani isu tatakelola pendidikan tinggi secara menyeluruh.

Pendekatan ini dilihat penting dalam memastikan sistem jaminan kualiti negara kekal responsif, telus dan dipercayai.

Sebagai kerangka strategik organisasi, MQA memperkenalkan Pelan Strategik MQA 2026–2030 yang merangkumi empat bidang tumpuan utama melibatkan pembangunan ekosistem pendidikan fleksibel masa hadapan, pengukuhan jaminan kualiti mampan, penyampaian perkhidmatan berasaskan kemampanan sumber serta pemerkasaan peranan MQA sebagai rujukan antarabangsa dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi.

Pelan tersebut diperkukuh dengan nilai teras GIFT yang menekankan aspek globalisasi, inovasi, fleksibiliti dan ketelusan bagi memastikan sistem jaminan kualiti Malaysia terus relevan dan berdaya saing di peringkat global.

Dalam masa yang sama, Mohammad Shatar menegaskan bahawa kejayaan MQA 3.0 turut bergantung kepada kekuatan dalaman organisasi.

Sehubungan itu, pembangunan warga MQA dipacu melalui pendekatan berteraskan HATI yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan holistik, penghargaan, pembangunan bakat serta pembinaan inspirasi dan identiti.

Nilai ini disokong oleh prinsip HAJI yang menekankan amanah, kejujuran dan keikhlasan sebagai asas kepada budaya kerja berintegriti.

Beliau menegaskan bahawa transformasi sebenar MQA 3.0 tidak boleh diukur melalui dasar dan struktur semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui nilai dan sikap warga organisasi.

Menurutnya, apabila kepimpinan kualiti dipacu oleh hati dan integriti, kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan tinggi negara akan terus terpelihara dan diperkukuh.

By Cynthia

Leave a Reply